Tragedi tanah runtuh Taman Bukit Permai: Hon Meow pasrah lima kenderaan musnah

Situasi terkini di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor pada 16 Mac 2022. (FOTO: YUSMAN AWANG/HarakahDaily)
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG dan SYAHIRAH SALLEH

AMPANG JAYA: Bayangkan perasan sedih kehilangan lima buah kenderaan sekali gus dan hanya mengetahui mengenai perkara malang itu selepas tujuh hari.

Itulah realiti pahit yang dialami Tan Hon Meow yang merupakan salah seorang mangsa tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang Jaya, Selangor.

Peniaga berusia 69 tahun yang menetap di  barisan rumah teres di Taman Bukit Permai 2, betul-betul di lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat penduduk pada Khamis, 10 Mac lalu iaitu di No.9, Jalan Teratai 1/2 J, apabila lima buah kenderaan miliknya dan keluarga musnah dalam sekelip mata susulan tragedi berkenaan.

- Advertisement -


Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 petang itu, empat buah rumah tertimbus sepenuhnya manakala 15  buah lagi terjejas termasuk rumah Hon Meow yang terletak tiga unit daripada rumah salah seorang  jirannya yang tertimbus sepenuhnya itu.

Sementara 10 kenderaan, lima daripadanya milik Hon Meow dan keluarga yang diparkir berhampiran tanah runtuh berkenaan, musnah sama sekali.

Jentolak dan lori MPAJ sedang memungah tanah runtuh yang masih terdapat di kaki cerun Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor. Turut kelihatan 10 buah kenderaan yang musnah dalam kejadian itu, lima daripadanya milik Hon Meow. (FOTO: YUSMAN AWANG/HarakahDaily)

Tanah runtuh tu adalah dari cerun yang menempatkan penempatan Taman Bukit Permai 1 di bahagian atasnya, manakala Taman Bukit Permai 2 terletak di bahagian bawah cerun itu.

Menceritakan detik pada hari kejadian, Hon Meow mengimbaskan kembali bahawa sebaik menyedari tanah di cerun berhampiran rumahnya itu runtuh, dia dan keluarga terus melarikan diri melalui pintu belakang rumah tanpa sempat menyelamatkan sebarang harta benda mereka.

Hon Meow baru kembali melihat keadaan rumah dan kenderaan miliknya pada hari ini, 16 Mac 2022, seminggu selepas kejadian tanah runtuh di cerun Taman Bukit Permai 2 yang telah mengorbankan tiga jirannya. (FOTO: SYAHIRAH SALLEH/HarakahDaily)

“Kami enam beranak terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang dalam hujan lebat melalui pintu belakang rumah dan meninggalkan kediaman kami itu, sebelum diambil oleh anak perempuan saya untuk tinggal bersamanya di Batu 9, Cheras,” ungkapnya.

Selepas tujuh hari tragedi itu berlalu, pada hari ini, Rabu (16 Mac), Hon Meow baru memberanikan diri  pulang ke rumahnya itu untuk melihat situasi kediaman dan lima keretanya selepas berasa selamat untuk menjejakkan kaki di situ.

“Lima buah kereta saya dan keluarga terdiri daripada jenis Proton Waja, Toyota, Axia, Hilux, Mitsubishi (lori),” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di sini, hari ini.

Menurut Hon Meow, dia kembali ke kediamannya  itu untuk meninjau jika masih ada kenderaan miliknya yang tidak rosak susulan tragedi itu, tetapi pasrah akhirnya apabila mendapati kesemua lima kenderaannya berkenaan musnah sama sekali.

Jalan Teratai 1/2 J merupakan lokasi paling teruk terjejas dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2. (FOTO: SYAHIRAH SALLEH/HarakahDaily)

“Kesemua lima kenderaan saya musnah tetapi rumah saya masih okey,” tuturnya dengan pandangan mata yang sayu.

Ditanya jika terdapat sebarang pampasan sudah diterima susulan daripada bencana itu, Hon Meow berkata dia belum mendapat sebarang maklumat atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak.

Ketika kunjungan HarakahDaily di lokasi tragedi kejadian pada kira-kira jam 1 tengah hari tadi itu, didapati kerja-kerja pembersihan dan pemulihan di lokasi kejadian tanah runtuh berkenaan sedang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Dua buah kenderaan yang diparkir di unit tepi barisan rumah teres di belakang rumah Hon Meow turut terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada 10 Mac, 2022. (FOTO: YUSMAN AWANG/HarakahDaily)

Kelihatan jentolak dan lori MPAJ sedang memungah tanah runtuh yang masih terdapat di kaki cerun berkenaan.

Sementara tinjauan HarakahDaily di  barisan rumah teres di belakang kediaman Hon Meow mendapati dua buah kereta yang diparkir berhampiran unit rumah paling tepi tetapi terbiar tanpa penghuni, dan berdekatan dengan tanah runtuh di cerun berkenaan, turut terjejas. – HARAKAHDAILY 16/3/2021