Kerajaan negeri tingkat imej sekolah agama di Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Setelah hampir 70 tahun penubuhan Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Mardhiah di Panchor Kemumin, kini sekolah terbabit dikenali Maahad Tarbiah Mardhiah.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sekarang Yayasan Islam Kelantan (Yik) mempunyai 29 maahad kawalan.

Katanya kerajaan negeri membelanjakan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memastikan spesifikasi, pembelajaran serta kemudahan sekolah terbabit menepati syarat ditetapkan.

- Advertisement -

“Kita berusaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi imej sekolah agama di Kelantan termasuk Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Mardiah yang kini dapat status maahad kawalan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan maahad kawalan kelolaan Yik meningkat kepada 29 buah, sekarang kita hendak siapkan bangunan akademik tiga tingkat bagi keselesaan pelajar dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pengisytiharan Naik Taraf Sekolah di Dewan al Arshadi di Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Mardhiah di sini semalam.

Turut hadir Adun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood; Pengarah Yik Engku Rajhan Engku Ismail dan mudir sekolah berkenaan Najmuddin Abdullah.

Dr Mohamed Fadzli berkata, pengisytiharan itu merupakan tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan sektor pendidikan agama di Kelantan terus diperkasa.

“Pembangunan yang dimaksudkan bukan hanya meliputi pembangunan sekolah dan kemudahannya, malah turut melibatkan tenaga pengajar serta kakitangan sokongan.

“Ia merupakan teras penting dalam Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) untuk berhadapan dengan mehnah dan ujian pada zaman teknologi yang serba mencabar sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -