Kumpulan pertama pelajar UMK kembali ke kampus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK:
Seramai 816 pelajar membuat permohonan kebenaran untuk kembali ke kampus mula mendaftar masuk di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.

Naib Canselor UMK Prof Dr Razli Che Razak berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian kumpulan pertama daripada 6,254 pelajar yang diterima mendaftar masuk bagi mengikuti sesi pengajian secara bersemuka pada semester baharu yang bermula 20 Mac ini.

- Advertisement -

Katanya, daripada jumlah itu, 4,527 pelajar memohon untuk menginap di kolej kediaman dan selebihnya seramai 1,727 pelajar memilih untuk tinggal di luar sekitar kampus.

“Pendaftaran masuk untuk sesi akademik 2021/2022 ini diadakan secara berperingkat bermula 13 sehingga 19 Mac ini melibatkan pelajar dari semua tahun pengajian di ketiga-tiga kampus UMK.

“Pelajar perlu mematuhi garis panduan kemasukan pelajar dengan mengemas kini status kesihatan di MySejahtera sebelum memasuki kawasan kampus.

“Mereka digalakkan menjalani ujian kendiri dalam tempoh tiga hari sebelum bertolak ke kampus dan pelajar yang disahkan negatif sahaja dibenarkan kembali ke kampus.

“Manakala yang positif atau bergejala diminta menangguh kemasukan ke kampus sehingga sembuh,” katanya ketika melakukan tinjauan di Pusat Saringan Kesihatan Covid-19 di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok.

UMK turut menyediakan pusat saringan kesihatan dan kit ujian kendiri Covid-19 yang dikendalikan Pusat Kesihatan Universiti dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -