PRN Johor: Janji ‘Kestabilan Masa Depan’ untuk siapa?

- Advertisement -

DALAM kehangatan kempen PRN Johor, saya kira rakyat negeri Selatan tanah air itu takkan pernah lupa akan kegagalan satu projek mega tambakan laut yang menjadi projek ‘gajah putih’ kini iaitu Forest City, di pesisir pantai Tanjong Kupang, Iskandar Puteri.

Kegagalan projek mega ini adalah ketika Negeri Johor di bawah kepimpinan dua mantan. Mantan Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin dan Mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak daripada Barisan Nasional (BN) yang begitu giat berkempen untuk memenangkan BN konon dengan slogan ‘Kestabilan Masa Depan’. 

- Advertisement -

Melihat kepada projek bermasalah hasil daripada air tangan BN ini, saya mempersoalkan kestabilan yang dilaungkan sebenarnya untuk siapa?

Apa yang kita dapat lihat melalui kegagalan projek Forest City ini adalah kegagalan demi kegagalan yang akhirnya menjejaskan kestabilan kesejahteraan negeri dan kebajikan rakyat. 

Kegagalan ini cuba ditutup kononnya, Malaysia dan Johor mengalami kerugian potensi ekonomi disebabkan tidak memilih BN bagi memastikan projek ini agar berjaya dilaksanakan. 

Walhal realitinya, projek sememangnya tidak berdaya maju (viable) daripada sudut ekonomi, kelestarian alam, justeru menjelaskan kesejahteraan rakyat.

Projek mega sebegini terbukti tidak mampu bertahan apabila serangan wabak global iaitu COVID-19. Bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila prestasi jualan aset daripada tanah besar China hancur selepas Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping mengumumkan kawalan matawang termasuk mengenakan had tahunan $50,000 untuk pembeli rakyat China boleh berbelanja di luar negara. 

Pemimpin BN yang terlibat melobi projek ini mungkin mahu menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengeluarkan ‘larangan’ warga asing membeli hartanah; yang didakwa secara tidak langsung menjejaskan potensi jualan di Forest City selepas bertakhta sebagai Perdana Menteri ke-8 di era Kerajaan Pakatan Harapan 22 bulan. 

Namun, mungkin juga reaksi besar China yang mengekang ekspariat mereka melabur ke luar negara mereka adalah hasil makbul doa-doa nelayan kerdil yang dizalimi di era BN. Alam sekitar terjejas, laut yang menjadi kawasan penangkapan sara hidup nelayan di sekitar Tanjong Kupang terus berkurangan. 

Sungguh ironi apabila melihat pembangunan mega yang tidak mampan secara ekonomi, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat ini mahu dipadankan dengan slogan ‘Kestabilan Masa Depan’. Sekali lagi soalnya masa depan siapa? 

Apakah projek mega ini dicipta untuk mengutamakan tarikan hati ekspariat tanah besar China? Namun akhirnya, bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila Presiden China mengenakan dasar kawalan matawang bagi mensejahterakan negara mereka. 

Apakah pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan projek ini tidak memikirkan soal mensejahterakan rakyat Johor serta kedaulatan negara secara umum?

September tahun 2021 yang lalu, terdapat laporan bahawa proses pemberhentian kerja bagi pekerja-pekerja di Forest City mula dibuat secara signifikan. Pemaju Forest City telah menafikan hal ini. Cuma logik umum di era COVID-19 boleh memberi petunjuk kepada kita atas penafian tersebut. 

Dalam pada itu, di Utara Semenanjung Malaysia terdapat satu lagi projek tambakan laut besar-besaran seumpama Forest City iaitu Penang South Reclaimation (PSR). Model bisnesnya juga kelihatan cuba untuk menarik hati ekspariat dari tanah besar China. 

PSR masih belum dapat dilaksanakan disebabkan masalah kelulusan tertentu yang masih menghalangnya di samping telah mendapat bantahan keras daripada masyarakat yang terjejas di Pulau Pinang serta gerakan masyarakat sivil dan NGO yang keras menentang. Sudah tentu kisah gagal Forest City tidak mahu diulang di Pulau Pinang. 

Walaupun Pulau Pinang ditadbir oleh Pakatan Harapan dengan abang besar DAP yang kelihatan berlawanan dengan BN, namun selera DAP dan BN kelihatan sama. Yang menjadi mangsa adalah rakyat di bawah yang terjejas batas kerosakan yang berlaku atas projek yang dirancang secara separuh dan akhirnya menjadi ‘gajah putih’. 

Semua orang mahukan kemajuan, namun apa yang paling penting adalah acuan yang ada di sebalik kemajuan tersebut. Ketika mana Khaled Nordin mengkritik Kelantan soal pembangunan, sekurang-kurangnya Kelantan tidak sewenang-wenangnya melakukan pembangunan mega bagai menyusu kera di hutan, namun anak sendiri mati kelaparan. 

Pembangunan seharusnya dibuat dengan melihat kemampuan pemilikan rakyat dan tidak meminggirkan penduduk asal di sesebuah negeri, supaya tidaklah jadi ‘menang sorak kampung tergadai’. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Bukit Jambul, Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -