Isu pampasan RM62.59 bilion: Malaysia tidak berdiam diri, guna saluran perundangan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdiam diri walaupun tidak mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu yang baru-baru ini dianugerah oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, pampasan sebanyak RM62.59 bilion ($14.92 bilion).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan juga telah melaksanakan tindakan perundangan sewajarnya.

Beliau yang meminta izin Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, untuk mengambil masa lebih lama bagi menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri, hari ini, berkata isu yang dibangkitkan ini merupakan susulan keputusan Final Award yang diberikan oleh Dr Gonzalo Stampa, iaitu seorang Penimbang Tara yang dilantik oleh Mahkamah Madrid, Sepanyol pada 22 Mei 2019.

- Advertisement -

Menurutnya, Dr Stampa membuat keputusan Timbang Tara di Perancis pada 28 Februari 2022 yang meminta supaya kerajaan Malaysia membayar sebanyak AS$14.92 bilion kepada warga Filipina yang mengaku sebagai Waris Kesultanan Sulu yang dilaporkan di akhbar tempatan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelantikan Dr Stampa kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021.

Katanya, perkara ini juga dibahaskan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat semasa Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Sebelum menjawab pertanyaan Yang Berhormat Papar, saya ingin menjelaskan beberapa perkara penting yang telah berlaku dalam lipatan sejarah berkenaan isu ini. Pada 22 Januari 1878, dua perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck & Alfred Dent, untuk menjaga kepentingan mereka di Sabah,” katanya.

Dr Wan Junaidi berkata, pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, pada 12 Februari 2013 yang mengorbankan seramai 10 orang wira negara dan susulan daripada serangan itu, kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada Waris Kesultanan Sulu.

Berikutan itu, katanya firma guaman yang mewakili warga Filipina yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu (penuntut) memohon rundingan semula bayaran wang ihsan di bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan Superior Court of Justice di Madrid, Sepanyol (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018.

Menurutnya, Mahkamah Madrid memutuskan untuk melantik penimbang tara dan Dr Stampa dilantik pada 22 Mei 2019, diikuti pada 30 Julai 2019, satu Notis Timbang Tara diserah kepada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.

Dr Wan Junaidi berkata, kerajaan telah melaksanakan tindakan perundangan sewajarnya dengan kes difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah yang penuntut tidak hadir ke prosiding tersebut.

“Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah kemudian dibawa ke Mahkamah Madrid, Sepanyol, untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol. Susulan itu, Partial Award on Jurisdiction dikeluarkan oleh Penimbang Tara pada 25 Mei 2020 telah diketepikan,” katanya.

Pada 29 Jun 2021, katanya atas permohonan kerajaan, Mahkamah Madrid membatalkan pelantikan Dr Stampa sebagai penimbang tara serta semua tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Dr Stampa adalah terbatal.

Katanya, Mahkamah Madrid pada 13 Oktober 2021 memutuskan bahawa Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 25 Mei 2021 adalah terbatal.

Bagaimanapun, katanya penuntut telah membawa Partial Award on Jurisdiction tersebut ke Perancis sebelum 13 Oktober 2021 bagi memintas keputusan Mahkamah Madrid tersebut.

Menurutnya pada 29 September 2021, Mahkamah Perancis tanpa mengetahui keputusan Mahkamah Madrid yang telah membatalkan pelantikan dan keputusan Dr Stampa, telah mengeluarkan Exequatur Order yang mengiktiraf Partial Award on Jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 tersebut.

Berdasarkan Exequatur Order itu, Dr Stampa telah memindahkan tempat timbang tara dari Madrid ke Paris bagi meneruskan prosiding timbang tara tersebut.

“Penuntut pada 5 November 2021 memfailkan permohonan Rayuan Perlembagaan ke Mahkamah Perlembagaan di Sepanyol untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertahankan Sabah yang diceroboh Tentera Kesultanan Sulu pada 2013

“Sebagai bantahan kepada tindakan Penimbang Tara terhadap ketidakpatuhan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, ketidakaturan proses, ketidakadilan serta penghinaan kepada kedaulatan undang-undang, kerajaan Malaysia memfailkan aduan jenayah terhadap Dr Stampa kepada Peguam Negara Sepanyol pada 14 Disember 2021,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia juga memfailkan rayuan untuk membatalkan Exequatur Order bertarikh 29 September 2021 dan juga permohonan menggantung pelaksanaan Exequatur Order tersebut.

Berikutan itu, katanya pada 16 Disember 2021, Mahkamah Rayuan Perancis, membenarkan permohonan kerajaan Malaysia bagi penggantungan Exequatur Order yang dikeluarkan pada 29 September 2021.

Dr Wan Junaidi berkata, rayuan yang difailkan oleh kerajaan Malaysia belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Paris Perancis.

Bertentangan dengan penggantungan Exequatur Order yang telah diberikan oleh Mahkamah Perancis, katanya penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award hendaklah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.

Menurutnya, Dr Stampa bersetuju dengan permohonan penuntut dengan tidak mengendahkan kesan penggantungan Exequatur Order tersebut.

“Tanpa menghiraukan segala arahan serta keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Madrid, Sepanyol dan Mahkamah Rayuan Perancis, Dr Stampa, telah membuat Final Award tersebut.

“Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Papar, ingin saya jelaskan bahawa Final Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa (penimbang tara yang pelantikannya dibatalkan oleh Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021) adalah tidak sah dan telah diputuskan dengan sewenang-wenangnya serta tidak berlandaskan undang-undang,” katanya.

Memandangkan pelantikan Dr Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang, katanya kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara tersebut.

Sehubungan itu, katanya kerajaan Malaysia melalui Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri, telah melantik peguam di Sepanyol dan Perancis, untuk mewakili kerajaan bagi tujuan menangani segala tuntutan yang dibuat terhadap Malaysia.

Menurutnya, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu kerana negara sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan pula identiti penuntut diragui dan belum disahkan.

Namun demikian, Dr Wan Junaidi menekankan bahawa kerajaan tidak berdiam diri, tetapi telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli melalui tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol dan di Paris, Perancis.

“Kerajaan sentiasa peka dan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan Final Award yang tidak sah tersebut di bawah New York Convention jika dilaksanakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -