Tragedi maut ritual pantai dedah gejala ajaran sesat terkini di Indonesia

Kumpulan Padepokan Tunggal Jati Nusantara yang melakukan ritual aneh dengan berendam beramai-ramai di pantai Payangan, Jember, Jawa Timur dalam gelap pada subuh 13 Februari, 2022 merupakan ajaran sesat terkini dilaporkan di Indonesia. (Foto dari tangkap layar)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

Imam Safii masih tidur di rumahnya di Kabupaten Jember, Jawa Timur, apabila menerima panggilan telefon pada Ahad, 13 Feb 2022.

Pemanggil itu memaklumkan kepadanya bahawa ombak telah menghanyutkan sekumpulan orang di pantai Payangan berhampiran Jember. Oleh itu, bantuan Imam Safii sebagai sukarelawan dengan organisasi mencari dan menyelamat tempatan sangat diperlukan

- Advertisement -

Dia lantas bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua orang lelaki terbaring tidak bergerak di pantai manakala seorang lelaki cuba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas salah seorang daripada dua lelaki berkenaan.

“Tetapi lelaki itu berkata kumpulan orang itu telah berada di dalam air selama sejam, jadi saya fikir mustahil mereka masih hidup,” ujar Imam Safii.

Menjelang subuh, ternyata bukan sahaja dua orang mati lemas malah seramai 11 orang maut apabila dihanyutkan ombak, lapor CNA.

Bersama 13 orang lain yang berjaya bertahan, didapati mereka adalah sebahagian daripada kumpulan yang bermeditasi dan melakukan ritual dalam kegelapan  waktu subuh di pantai berkenaan.

Akibat terpengaruh dengan ajaran sesat, 11 ahli kumpulan Padepokan Tunggal Jati Nusantara maut akibat lemas selepas dipukul ombak di pantai Payangan, Jember, Jawa Timur pada 13 Februari 2022.

Ketua kumpulan itu dikenali sebagai Nur Hasan terselamat dan polis kemudian mendedahkan bahawa mereka adalah ahli kumpulan kerohanian yang dikenali sebagai Padepokan Tunggal Jati Nusantara.

Menurut laporan Kompas.com., Nur Hasan sebelum ini mendakwa dia  memiliki kuasa psikik. Ritual yang diketuai Nur Hasan itu melibatkan bacaan keagamaan serta nyanyian dan mantera Jawa.

Sedangkan realitinya, Nur Hasan yang pernah bekerja di Malaysia bukan seorang kiai ataupun uztaz tetapi sebenarnya pernah menjadi pengacara sebuah majlis hiburan dangdut di Indonesia.

Pelakon drama

Ketua Polis Daerah Jember, Hery Purnomo berkata, setiap pengikut Nur Hasan yang disoal siasat memberikan alasan berbeza kenapa mereka menyertai kumpulan yang menjalankan  upacara aneh di dalam air di pantai berkenaan.

“Ramai dalam kalangan mereka melakukannya terutamanya dengan harapan untuk menjadi kaya, disembuhkan daripada penyakit atau mereka mempunyai masalah dalam keluarga mereka,” ujar Hery.

Nur Hasan yang mendakwa mempunyai kuasa psikik pernah bekerja di Malaysia.

Sehubungan itu, insiden tragis itu telah mendedahkan tentang kelaziman kumpulan yang percaya dan mengamalkan pelbagai bentuk aktiviti kerohanian yang karut atau dalam erti kata lain, ajaran sesat. 

Beberapa ritual bercampur dengan kepercayaan agama serta sinkretik dalam sihir dan kuasa psikik.

Selain kejadian 13 Feb 2022 itu, tragedi serupa turut meragut nyawa tiga individu di pantai lain juga di sekitar Jember pada tahun 2018.

Terdahulu pada 2016, seorang lelaki yang mendakwa mempunyai kuasa ajaib untuk melipatgandakan wang, Taat Pribadi telah ditahan di Probolinggo, Jawa Timur, atas dakwaan membunuh dan menipu orang ramai.

Taat yang menamakan dirinya dengan nama diraja, Dimas Kanjeng, mengejutkan Indonesia apabila siasatan pihak berkuasa tempatan mendapati lelaki itu telah membunuh dua orang pengikutnya yang cuba mendedahkan kegiatannya itu sebagai suatu penipuan. 

Taat Pribadi menarik minat orang ramai supaya menjadi ahli kumpulan ajaran sesat yang diketuainya dengan mendakwa dia mempunyai kuasa ajaib yang boleh menggandakan wang.

Mangsa yang dibunuh itu sebelum ini mendakwa Taat sebenarnya tidak mempunyai keupayaan untuk melipatgandakan wang.

Hasil perbicaraan mahkamah, akhirnya pada 6 Disember 2018, Taat dijatuhi hukuman penjara selama 21 tahun.

Pada tahun yang sama, orang ramai di negara itu turut dikejutkan tentang Gatot Brajamusti, bekas pelakon yang bertukar menjadi pemimpin kumpulan kerohanian ajaran sesat yang dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki senjata haram, merogol kanak-kanak dan penyalahgunaan dadah.

Selain bergelar pelakon, Gatot pernah diberi kepercayaan sebagai Ketua Umum Persatuan Artis Filem Indonesia (PARFI) bagi tempoh 2011-2016 dan 2016-2021.

Gatot yang pernah membintangi drama aksi yang disiarkan pada 2016, Detachment Police Operation (D.P.O) dihukum 20 tahun penjara pada 15 Julai 2018 atas kesalahannya itu, sebelum dia meninggal dunia pada 8 November 2020 akibat pelbagai penyakit termasuk kencing manis.

UFO mendarat di Jakarta

Di Indonesia menurut laporan portalJember pada 14 Mac 2021, terdapat sekurang-kurangnya 9 lagi ajaran sesat telah bertapak di Indonesia,yang mana ciri utamanya adalah mengingkari salah satu dari rukun iman dan rukun Islam.

Ia termasuklah apa yang dikenali sebagai Kerajaan Ubur-Ubur, Puang La’lang (Maha Guru), Gafatar (Gerakan Fajar Nusantara), Komunitas Eden (Salamullah), Sekte Satria Piningit Weteng Buwono, Kelompok Doa Hati Kudus Allah Kerahiman Ilahi, Lembaga Pelaksana Amanah Adat dan Pancasila (LPAAP), Al-Qiyadah Al-Islamiyah dan Aliran Hakekok.

Antara yang paling berbahaya ialah aliran Gafatar diketuai individu dikenali sebagai Ahmad Musadeq yang mana ajaran sesat itu menggabungkan ajaran dalam agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Sementara yang agak melucukan pula ialah Komunitas Eden (Salamullah) yang diketuai Lia Eden atau Lia Aminuddin yang sempat mengegarkan Indonesia pada 1997 setelah mengakui dirinya sebagai penyebar wahyu Tuhan, Imam Mahdi.

Sebelum mengepalai kumpulan kerohanian ajaran sesat, Gatot Brajamusti (kanan) merupakan seorang pelakon.

Apa yang melucukan ialah pada 2015, Lia mengeluarkan kenyataan khusus buat Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo bahawa pesawat UFO bakal mendarat di Monas, Jakarta.

Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati dalam mempercayai dan menyertai kumpulan ajaran sesat, terutama yang menuntut imbuhan kewangan.

Sebenarnya terdapat beratus-ratus kumpulan ajaran sesat di Indonesia. Pada 2016, Majelis Ulama Indonesia (MUI) mencatat terdapat 300 lebih aliran kepercayaan yang diklasifikasikan sebagai ajaran sesat di Indonesia sehingga tahun tersebut, namun ratusan aliran sesat tersebut biasanya muncul dan kemudian menghilang dengan cepat.

Ahli antropologi dari Universiti Ar-Raniry Banda Aceh, Kamaruzzaman Bustamam-Ahmad berkata, kumpulan kerohanian dengan kecenderungan seperti kultus telah wujud di seluruh Indonesia sejak ratusan tahun lalu.

“Isu ini sudah lama berlaku di Indonesia, bahkan sebelum kedatangan Belanda (abad ke-16). Pada masa kini, orang ramai ingin mentakrifkan apa itu, dan masalahnya ialah ia adalah perkara biasa walaupun ia bertentangan dengan rasional kita,” tegas Bustamam-Ahmad.

“Keadaan ini amat rumit memandangkan Indonesia mempunyai ratusan etnik, dan kebanyakan mereka mempunyai kepercayaan terhadap pribumi mereka sendiri,” ujarnya kepada CNA.  

Kostum ahli kumpulan ajaran sesat Tarekat Naqsyabandi Akatsuki yang menggemparkan Indonesia pada 2015 ini kelihatan agak melucukan.

Selain itu, Indonesia juga mengiktiraf agama-agama utama yang asalnya datang dari luar negara termasuk agama Kristian. Agama-agama ini telah melalui pelbagai proses penyesuaian dan asimilasi kepada adat, kepercayaan dan amalan Orang Asli di negara itu.

Dari masa ke masa, sesetengah daripada mereka boleh berkembang menjadi kumpulan rohani yang terdiri daripada sebilangan kecil orang yang sering melakukan aktiviti mereka jauh daripada perhatian orang ramai.

Ikatan emosi kuat

Menurut Bustamam-Ahmad, beberapa kumpulan berasaskan agama mungkin telah wujud selama berabad-abad di Indonesia dan modus operandi mereka dalam menarik pengikut juga telah berkembang dari semasa ke semasa.

“Sebagai contoh, beberapa tahun dahulu pengikut wanita sering diminta untuk menjadi hamba kepada ketua kumpulan mereka. Tetapi pada masa kini mungkin terdapat beberapa pelarasan memandangkan era digital yang kita hidup.

“Hari ini, jika anda mempunyai kemahiran tertentu ia menjadi kekuatan di media sosial, dan sesuatu yang kelihatan ajaib menjadi menarik (kepada pengguna media sosial),” jelasnya  yang merupakan pakar dalam kajian antropologi dan sosiologi agama di Asia Tenggara.

Ahmad Musadeq mengemparkan Indonesia pada tahun 2016 apabila mengepalai kumpulan ajaran sesat, Gafatar yang menggabungkan ajaran agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Tambah beliau, kesetiaan kepada pemimpin serta dilihat berkemampuan dalam menjana pendapatan kolektif telah menjadi elemen penting sebagai faktor daya maju kumpulan-kumpulan ajaran sesat berkenaan.

“Membentuk ikatan emosi yang kuat dan tidak boleh dipertikaikan antara pemimpin dan pengikut juga merupakan kunci kepada bagaimana kumpulan ajaran sesat itu beroperasi,” katanya lagi.

Walaupun agama sentiasa menjadi tarikan utama bagi kumpulan kerohanian ajaran sesat berkenaan untuk menarik pengikut, Bustamam-Ahmad juga percaya bahawa ia telah menjadi suatu komoditi.

“Dalam banyak keadaan, agama telah dieksploitasi atas sebab kewangan. Ini termasuk untuk menarik derma dan atau dalam ayat yang mudah, langganan keahlian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -