Sukan negara perlu diutamakan seimbang keperluan peribadi atlet

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) memperhalusi dan memperkemaskan kedudukan perjanjian antara atlet, penaja dan pihak berkaitan.

Timbalan Menterinya, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, berkata ini bagi memastikan kepentingan dan pembangunan sukan negara diberi keutamaan seimbang dengan perkembangan kerjaya dan keperluan peribadi atlet.

- Advertisement -

Katanya, isu dua pemain badminton yang membuat keputusan untuk bermain secara bersendirian dan bukan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencuri perhatian peminat sukan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.

“KBS bersama BAM mempunyai perancangan jangka panjang dan rapi serta memerlukan pelaburan besar dan komitmen tinggi bagi melahirkan seorang atlet bertaraf antarabangsa.

“Pelaburan ini meliputi komitmen kerajaan, peranan PSK dan kesinambungan penajaan bagi memastikan program pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga peringkat antarabangsa dapat dirancang dan dilaksanakan,” katanya menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jee Keen meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sebab BAM menghalang pemain bergerak secara profesional, termasuk melarang mereka menyertai kejohanan antarabangsa dan tindakan yang diambil untuk membetulkan tindakan yang salah itu.

Lian Ker berkata, atlet yang membuat keputusan bergerak secara sendirian atau profesional dan mengenepikan komitmen asal akan mengenepikan matlamat badan sukan berkenaan dan perancangan asal untuk atlet dan pasukan.

Katanya, ini akan mempunyai kesan kepada PSK yang akan mewujudkan konflik antara badan sukan, pasukan atlet dan penaja.

“Badan sukan berkaitan mungkin berhadapan tindakan undang-undang disebabkan perjanjian yang dimeterai mengambil kira kehadiran atlet yang dikenal pasti dalam program sukan berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan asal Jee Keen, katanya soalan itu sepatutnya diajukan kepada BAM dan bukan KBS yang tidak mempunyai bidang kuasa untuk masuk campur dalam hal ehwal atau dasar persatuan kecuali jika terdapat isu yang dipanjangkan kepada Pesuruhjaya Sukan.

Bagaimanapun, katanya langkah penyelesaian telah ditemui oleh BAM untuk atlet yang berhasrat untuk melangkah ke dunia profesional, iaitu memberikan pelepasan kepada atlet yang berhasrat bergerak secara profesional.

Katanya, BAM juga menarik balik penggantungan pemain profesional dan memberi kebenaran untuk atlet bertanding di kejohanan antarabangsa. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -