PRN Johor: PAS susun strategi untuk menang

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: PAS yakin dapat memenangi kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Johor berbekalkan strategi tersendiri dan kerjasama parti komponen Perikatan Nasional (PN), demikian kata Naib Presiden PAS, Senator Dato’ Ustaz Idris Ahmad.

“PAS ada strategi sendiri. Jentera kita sedang bekerja keras di lapangan bagi membolehkan calon-calon PAS yang bertanding, mampu menyumbangkan kemenangan dalam PRN Johor.

- Advertisement -

“Tidak bolehlah beritahu apa rahsia strategi PAS. Kalau beritahu strategi nanti jadi tragedi,” katanya selepas Majlis Sumbangan Persekolahan Kawasan Bukit Gantang di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Simpang, di sini semalam.

Menurut beliau, parti-parti komponen PN yang bertanding pada PRN Johor turut saling bekerjasama dengan baik bagi memastikan kerusi ditandingi di 56 DUN negeri itu dapat dimenangi.

Terdahulu, beliau juga menyampaikan sumbangan seumpama pada Majlis Sumbangan ‘Back To School’ yang diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Bukit Gantang, Kampung Bukit Chempedak, di sini semalam.

Ustaz Idris pada majlis itu mengingatkan ibu bapa supaya meletakkan pendidikan anak-anak sebagai keutamaan dalam usaha membina generasi berilmu pengetahuan yang melahirkan modal insan buat ummah dan negara.

“Selain mengejar ilmu duniawi, ibubapa jangan sesekali mengabaikan ilmu akhirat dan memastikan anak-anak mendirikan solat, boleh membaca Al-Quran serta faham mengenai fardhu ain dan kifayah,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan, bidang pendidikan sentiasa menjadi perhatian dan keutamaannya dalam memastikan setiap rakyat berpeluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

“Semoga ilmu yang diperolehi oleh anak-anak kita dapat melahirkan insan yang berguna untuk masyarakat dan negara. Ibarat benih yang baik, dibuang ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi bukit,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Zulkefly Ahmed dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Bukit Gantang, Norzuhrah Abu Bakar.

Program tahunan ini turut dilaksanakan di DUN Kuala Sepetang melibatkan 388 penerima, manakala 330 pelajar dari DUN Trong telah menerima sumbangan minggu lalu. 

Baki 148 pelajar dari DUN Changkat Jering pula menerima sumbangan di Dewan Orang Ramai Kampung Air Kuning pada sebelah petang. – HARAKAHDAILY 28/2/2022

- Advertisement -