PAS Johor tidak pernah sisih Najib Lep

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH | FOTO AJIES YUNOS

JOHOR BAHRU:
PAS Johor tidak pernah menyisihkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pasir, Najib Lep.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin berkata, bahkan pihaknya berusaha memberikan yang terbaik untuk beliau.

Menurutnya, PAS Johor telah memutuskan Najib Lep sebagai calon di DUN lain yang berpotensi untuk dimenangi berdasarkan kajian yang telah dibuat.

- Advertisement -

“Tindakan ini juga berikutan laporan di mana Haji Najib bin Lep menghadapi masalah dalam berkomunikasi dengan jentera Pilihan Raya DUN Bukit Pasir yang mungkin boleh menjejaskan peluang beliau untuk terus memenangi DUN tersebut,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini sebentar tadi.

Jelasnya, berdasarkan keadaan itu, PAS negeri berbincang dan membuat keputusan dengan persetujuan PAS Kawasan Pagoh untuk mencalonkan beliau di DUN tersebut.

Namun, katanya dukacita dimaklumkan bahawa Najib bertindak menolak pencalonannya yang telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulamak di DUN yang baharu dan menyertai pilihan raya atas tiket calon Bebas di DUN Bukit Pasir.

“Justeru, PAS Johor menyerahkan perkara ini kepada PAS Pusat untuk menyiasat dan mengambil tindakan dalam menyelesaikan perkara ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/2/2022

- Advertisement -