Rakyat Johor diseru membuat keputusan terbaik

- Advertisement -

PONTIAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim menyeru rakyat negeri Johor keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan membuat keputusan yang terbaik.

Katanya, para pengundi perlu membuat keputusan itu untuk mewujudkan satu pentadbiran tanpa rasuah dan tanpa ada kroni.

“Saya menyeru pada kali ini kepada rakyat negeri Johor keluar mengundi buat keputusan yang terbaik terutamanya untuk kita membuat satu pentadbiran tanpa rasuah, tanpa ada kroni, tanpa ada pihak tertentu atau semua yang berlaku sebelum ini.

- Advertisement -

“Rakyat Malaysia buat perubahan supaya satu mesej yang diberi kepada rakyat Malaysia kepada pentadbiran siapa yang memerintah supaya berlaku satu perubahan pentadbiran daripada tidak sihat kepada sihat,” ujarnya ketika ditemui semasa mengiringi calon Perikatan Nasional Pulai Sebatang, Ustaz Abdullah Husin menyerahkan borang pencalonan di Dewan Jubli Intan di sinim pagi ini.

Ini, ujarnya kerana PRN Johor menjadi ‘percubaan’ kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Sekali lagi saya menyeru kepada rakyat Johor keluar mengundi buat keputusan terbaik buat keputusan terbaik melihat kepada apa yang sedang kita gagaskan terutamanya daripada parti gabungan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, PAS, gerakan dan juga disokong oleh parti-parti di Sabah dan Sarawak,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Tambahan pula, jelas beliau di dalam Perikatan Nasional tidak ada istilah parti ‘abang long’ dan ‘ayahanda’ kerana semua bermesyuarat secara konsensus.

“Jadi kita tidak ada abang long, dan kita akan bermesyuarat secara konsensus, dan mendapat satu keputusan dan itulah yang kita pakai.

“Sebab itu pada PRN kali ini adalah satu kombinasi dan satu program yang kita buat tanpa kita melihat kepada parti Bersatu, PAS atau Gerakan, kita menggunakan Perikatan Nasional,” ujar beliau.

Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 26/2/2022

- Advertisement -