Terap BPMS dalam interaksi di media sosial

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
PAS menuntut semua ahlinya untuk mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) khususnya ketika berinteraksi di dalam media sosial.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, media sosial merupakan era media baharu yang menjadi perantaraan dalam usaha untuk berdakwah dan berkempen perlu diterapkan budaya tersebut.

“Kena ingat kita sedang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera, kena ingat kurangkan musuh, banyakkan kawan dan kena ingat apa yang kita tulis hari ini akan menjadi saksi di hadapan Rabbul Jalil,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam Bicara Siasah: PRN Johor Testimoni PRU15, yang disiarkan secara langsung di Youtube KelantanTV, pada Selasa.

Mengakui media sosial merupakan ‘perang’ alaf baharu, beliau menggesa supaya menjadikan platform itu wadah penyampaian ilmu bermanfaat serta pertambahan rakan yang ramai.

“Perang alaf baru ialah perang media sosial tetapi yang menjadikan anak muda itu berbeza dengan anak muda yang lain ialah kebijaksanaan dalam mengurus maklumat.

“Maklumat telah berada di hujung jari yang menjadikan kita lebih hebat dan lebih baik daripada orang lain dan bagaimana kita menganalisa maklumat yang kita dapat.

“Apakah maklumat itu benar, ataupun maklumat itu bersifat tuduhan, fitnah ataupun tohmahan, ini semua yang menyebabkan pertimbangan-pertimbangan perlu diambil oleh anak muda di dalam kita menggunakan media sosial,” katanya.

Khairil berkata, BPMS mampu melakukan perubahan minda dan perbuatan terhadap individu yang menjadikan politik sebagai salah satu daripada agenda umat Islam.

“Kalau kita pendakwah Islam takkan kita nak buat benda tak elok, takkan kita nak menyatakan perkara yang tidak elok di dalam media sosial dan apatah lagi fitnah.

“Jadi atas kiblat kepada Islam dan Allah sebagai Tuhan Rabbul Jalil yang sentiasa ada, maka atas dasar itu menjadikan politik kita akan lebih matang dan sejahtera

“Ia akan melahirkan perang media sosial yang sihat bukannya perang media sosial yang tidak sihat, yang kadang-kadang kita menipu dan orang terima penipuan tersebut akhirnya menyesal kerana mengundi sebab mendapat maklumat yang salah,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2022

- Advertisement -