Ramasamy jangan semarak api permusuhan antara agama

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengecam kenyataan provokatif dan berbaur perkauman dari P. Ramasamy, pemimpin DAP berhubung kes terkini pengesahan status agama anak yang berlaku di Perlis.

Dalam kenyataan di laman Facebook miliknya, P. Ramasamy dengan jelas menggunakan perkataan dan terma yang membawa gambaran buruk terhadap peranan pihak berkuasa agama Perlis dalam isu ini. Sedangkan isu ini sudahpun dalam tindakan pihak berkuasa dan judisiari. 

- Advertisement -

Perkara ini menjadi polemik apabila pemimpin Cauvinis dan ekstrem dari DAP seperti P. Ramasamy mengambil kesempatan untuk menyalakan api sensitiviti agama dan perkauman, menerusi fitnah tuduhan yang tidak tepat dan melampau kepada pihak berkuasa agama negeri Perlis. 

Penggunaan terma penculikan dan pemaksaan yang dikaitkan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam isu ini, adalah sangat tidak tepat dan berniat jahat. P. Ramasamy juga telah bertindak kontradik dengan diri sendiri apabila beliau mengatakan isu Loh Siew Hong bukan isu agama tetapi isu undang-undang. Tetapi dalam kenyataannya, nada dan terma yang digunakan amat jelas bersifat negatif serta berniat buruk kepada pihak berkuasa agama negeri Perlis.

Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak mencucuh api yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan perkauman dengan kenyataan yang bersifat ekstrem. Dalam isu pengislaman anak Loh Siew Hong, Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan agar semua pihak menghormati badan kehakiman dan pihak berkuasa undang-undang, serta meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikan konflik ini seadilnya.

HANAFI ZULKAPLI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -