Pertahan akidah tiga beradik tanggungjawab umat Islam

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

GUA MUSANG:
Pemimpin politik dinasihat tidak perlu mengambil kesempatan terhadap isu tiga beradik yang berusia 10 hingga 14 tahun yang memeluk Islam pada Julai 2020 bersama bapanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, campur tangan tersebut kemungkinan boleh mencetuskan perbalahan dari sudut agama dan perkauman.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan melalui pihak berkuasa agama di negeri-negeri mempunyai prosedur bagi menjaga kanak-kanak tersebut bagi memastikan kebajikan serta akidah mereka terjamin.

“Jadi dia (ibu kanak-kanak) perlu ikut peraturan, boleh jumpa, kita tidak halang. Yang penting apa yang dilakukan semua pihak mengikut lunas undang-undang yang ada.

“Yang penting apa yang dilakukan pihak berkuasa agama di Perlis menjaga kebajikan dan mempertahankan akidah. Ini merupakan tanggungjawab kita sebagai orang Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan pada Program Jom ke Sekolah 2022 di Dewan Felda Chiku Tiga, Chiku di sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad; Pegawai Serantau Dun Nenggiri Mohd Saufi Abdul Razak dan Pegawai Serantau Dun Galas Suhaimi Mat Deris.

Pada majlis itu seramai 300 pelajar dari keluarga miskin dan asnaf menerima bantuan persekolahan yang melibatkan Dun Paloh, Nengiri dan Galas. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -