Utusan Khas PM gerak usaha keamanan sejagat

Salahuddin Ayub dilihat terpengaruh sentimen serta dakyah pihak musuhi umat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAN, Dato’ Seri Salahuddin Ayub dilihat terlalu dangkal apabila cuba mempolemikkan peranan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan Salahuddin sendiri sebenarnya pelik serta terpengaruh sentimen dibawa rakan politik PAN iaitu DAP terhadap kepentingan umat Islam.

- Advertisement -

Bahkan katanya, bekas pimpinan PAS tersebut dan keluar parti pada tahun 2015 dahulu itu terpengaruh dakyah-dakyah Barat yang tidak senang dengan pemulihan Afghanistan. 

Salahuddin mempertikaikan pertemuan Abdul Hadi dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen, baru-baru ini.

Pertemuan sempena lawatan kerja ke Qatar tersebut memberi fokus utama kepada menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.

Ia termasuk penyelarasan misi bantuan kemanusiaan, di samping membuka pintu kerjasama baharu antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan kebajikan bagi manfaat bersama.

Bahkan terdahulu pada lawatan tersebut pertemuan turut diadakan bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid Khalifa Abdul Aziz Al-Thani serta beberapa pihak penting di negara itu.

Ahli Parlimen Pulai tersebut mendakwa Presiden PAS itu telah mendahului Kabinet atau Perdana Menteri mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan secara terburu-buru, gopoh dan di luar bidang kuasa diberikan.

Beliau malah turut mempersoalkan Ahli Parlimen Marang itu bertindak demikian kerana PRU15 tidak lama lagi, tetapi bersikap tidak mempedulikan pula penderitaan dan kematian yang berlaku di Yaman.

“Salahuddin tidak dapat membezakan peranan seluruh dunia yang sedang membantu memulihkan Afghanistan dari segi kemanusiaan khususnya yang sangat terjejas teruk akibat penaklukan Amerika Syarikat sebelum ini.

“Pertemuan (di Qatar) itu ternyata satu langkah ke hadapan untuk melaksanakan tanggungjawab keamanan sejagat khususnya di negara-negara bekas konflik yang masih dibelenggu isu kemanusiaan.

“Hal ini sepatutnya diberi tumpuan oleh seluruh dunia. Langkah Utusan Khas Timur Tengah itu adalah sangat bijak untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan pasti dari pihak Kerajaan Afghanistan sendiri mengenai perkara yang berlaku di negara itu. 

“Malah, langkah (pertemuan itu) sangat tepat untuk membuat hubungan yang bakal dibuat oleh Malaysia. Tindakan ini satu usaha diplomasi awal untuk mesej kemanusiaan dan keamanan sejagat,” ujarnya yang juga aktivis kemanusiaan antarabangsa.

Bidas Ahmad Tarmizi, pemimpin PAN tersebut ternyata tidak memahami situasi yang berlaku di Afghanistan dan gagal melihat situasi di negara itu selepas keluarnya tentera Amerika Syarikat. 

“Salahuddin sepatutnya memahami umat Islam tanpa mengira batas sempadan negara bersedia membantu manusia lain. Walaupun mungkin ada perbezaan pandangan politik, tetapi tidak sepatutnya dipengaruhi dalam isu kemanusiaan. 

“Kenyataan (Salahuddin) itu sangat melulu dan memalukan untuk mesej kemanusiaan seluruh dunia, seolah beliau tidak suka Malaysia membantu dalam hal kemanusiaan yang melanda rakyat di Afghanistan.

“Dari segi kemiskinan, kedaifan dan masalah tekanan hidup dialami sekian lama oleh penduduk termasuk kanak-kanak dan wanita akibat terlibat kancah perang puluhan tahun di negara itu. 

“Saya sarankan Salahuddin lebih banyak belajar punca konflik dan kesan-kesan kepada keamanan dunia agar tidak mudah melabelkan orang lain gopoh dan anggap orang lain tidak boleh melihat dari perspektif lain bagi melakukan penyelesaian dan keamanan untuk dunia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2022

- Advertisement -