PRN: PAS Johor kekal dengan pendirian parti

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengikut perkembangan politik yang sedang berlalu di negeri itu khususnya dengan ada kemungkinan akan berlakunya pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Hussin, berkata PAS negeri masih kekal dengan pandangan bahawa PRN Johor bukannya satu keperluan untuk diadakan ketika ini walaupun diakui bahawa kerajaan negeri yang dipimpin oleh Dato’ Hasni Mohammad hanya berkelebihan satu kerusi DUN sahaja.

Advertisement

Menurutnya, PAS negeri melihat bahawa tiada mana-mana pihak yang mahukan PRN Johor diadakan sama ada parti-parti dalam kerajaan mahupun pembangkang.

“PAS Johor melihat bahawa perkara yang perlu diberikan keutamaan ketika ini adalah kepentingan rakyat dalam membina semula kekuatan ekonomi akibat terkesan daripada wabak Covid-19,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.

Justeru, kata beliau PAS Johor akan kekal dengan pendirian parti iaitu PAS akan terus mengukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Bersatu sambil memperkasa kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Umno.

Namun, tambahnya dalam masa yang sama, PAS negeri sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan akan berlakunya PRN Johor.

“PAS Johor mengharapkan agar kerjasama di atas nama MN akan diteruskan seperti mana kerjasama PAS bersama PN di negeri bertuah ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2022