Ar Rahn bantu penduduk Sabah elak gadaian unsur riba

- Advertisement -

SEMPORNA: Masyarakat Islam di sini melahirkan rasa lega dengan kehadiran premis sistem gadaian Islam bagi membolehkan mereka menggadaikan barangan kemas untuk mendapat wang tunai tanpa dibebani kaedah riba.

Malah turut mengambil kesempatan kehadiran sistem gadaian itu tersebut masyarakat Muslim dari Filipina dan Indonesia yang bekerja di Sabah.

Peluang yang sama juga direbut penduduk bukan Islam termasuk kaum Cina dan serta kaum Bumiputera Sabah memandangkan sistem gadaian Islam yang ditawarkan termasuk Ar Rahn milik kerajaan Kelantan banyak membantu mereka.

- Advertisement -

Pengurus Ar Rahn Semporna Majuni Mohd Ali berkata, masyarakat Islam di sini sudah lama menunggu kehadiran sistem gadaian Islam bagi membolehkan mereka mendapat wang tunai dengan menggadai ketika terdesak.

Katanya sekarang penduduk tempatan mulai sedar dengan kehadiran Ar Rahn dan Ar Rahnu yang dikendalikan termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Bank Rakyat.

“Sebelum ini mereka menggunakan sistem gadaian konvensional yang menggunakan kaedah riba dengan mengenakan kadar bunga tinggi.

“Malah barang kemas yang digadai di pajak gadaian Islam tidak akan hilang begitu sahaja sekiranya mereka masih tidak mampu untuk menebus balik pada tempoh matang yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau ditemui ketika lawatan Pengurus Besar Permodalan Kelantan Berhad (PKB) Ramilan Abdul Rahman bersama pegawai kanan agensi terbabit ke premis berkenaan.

Ar Rahn dikendalikan PKB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bertapak di Sabah sejak 2014, cawangan pertama dibuka di Putatan, Kota Kinabalu.

Sehingga sekarang terdapat sembilan cawangan Ar Rahn di Sabah dan cawangan ke-10 dijangka dibuka di Lahad Datu tidak lama lagi dengan mengambil kira sambutan masyarakat tempatan begitu menggalakkan sekali.

Majuni yang merupakan anak tempatan Sabah berkata, kaum Cina terutamanya mereka yang terbabit dengan perniagaan emas secara kecil-kecilan ramai yang datang bergadai di Rahn.

Katanya, mereka mahu mendapatkan wang tunai sebagai modal pusingan perniagaan dengan meletak barang kemas di Rahn.

“Penduduk tempatan lebih berminat datang ke premis Ar Rahn bagi menggadai barangan kemas mereka kerana kaedahnya lebih mudah berbanding Ar Rahnu lain,” katanya yang mempunyai kelulusan bidang Perbankan Antarabangsa di Universiti Malaysia Sarawak.

Pengurus Ar Rahn Zon Sabah Kamaruddin Mat Awi pula berkata, Ar Rahn Cawangan Tawau antara yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Katanya, ada ketikanya premis tersebut terpaksa ditutup agak lewat memandangkan masih ada pelanggan yang datang.

Menurutnya Ar Rahn Tawau dibuka pada 3 April 2014 terletak di Jalan Haji Karim 2 kini dikendalikan lima kakitangan, mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada yang datang dari Kunak, terletak 80 kilometer dari Tawau.

Sementara itu seorang kakitangan awam dari Selangor yang bertugas di Tawau berkata, langkah Ar Rahn membuka cawangan di Sabah dapat membantu umat Islam di negeri itu menggunakan sistem gadaian Islam.

Katanya usaha yang dilakukan kerajaan Kelantan melalui PKB merupakan langkah tepat bagi membebaskan umat Islam daripada sistem riba yang menguasai segmen ekonomi sebelum ini. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -