PAS ada kekuatan tersendiri ikat wakil rakyat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS mempunyai kekuatan tersendiri yang mengikat wakil rakyat daripada belot daripada perjuangannya.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ideologi yang mengikat pemimpin dan ahlinya iaitu akidah dan dasar Islam tidak akan membuat parti itu tumbang walaupun sering kalah dalam pilihan raya.

“Sejarah PAS ini banyak kalah dari menang tetapi PAS tetap kekal sebab kekuatan aqidah perjuangannya yang kental,” kata beliau pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks PAS Kedah, di sini, semalam.

- Advertisement -

Justeru itu menurutnya lagi, tawaran wang untuk membeli wakil rakyat Kelantan suatu ketika dahulu tidak berjaya kerana kekuatan aqidah serta dasar perjuangan yang ada pada mereka kuat dan kukuh.

“Lima orang wakil rakyat kita cuba dibeli oleh pihak musuh politik ketika itu. Ada yang ditawarkan RM5 juta, ada yang RM3 juta tapi alhamdulillah mereka menolak.

“Sebab itulah calon yang kita pilih untuk menjadi wakil rakyat pun kena betul-betul dan diyakini,” ujarnya lagi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga berkongsi bersama hadirin pengalamannya yang sering diserang serta menjadi bahan provokasi pihak musuh.

Katanya, beliau kerap kali menganggap semua serangan dan tohmahan itu ibarat kafarah daripada Allah untuk membersihkan dosa-dosa lalu.

“Itulah antara rahsia besar saya. Bagi saya mungkin Allah nak bersihkan dosa-dosa saya. Jadi bila fikir begitu, saya rasa lapang.

“Lagipun, kalau kita ikuti sirah Rasulullah SAW, baginda juga dihina, dituduh sesat, ahli sihir, pemecah belah dan diugut bunuh. Jadi siapalah kita,” tegas beliau lagi.

Justeru itu beliau sendiri tidak terlalu mengambil endah apabila pelbagai label ditujukan kepadanya termasuk dianggap bapa wahabi.

Amar juga tidak berhasrat untuk membalas sikap individu tertentu yang dahulu bersama-samanya dalam PAS khususnya Kelantan demi mengelak lebih banyak keburukan akan timbul.

“Bila orang sebut nama individu itu, saya ketawa ajelah. Kalau perangai saya pun macam dia, boleh saja saya cerita hal keburukan dia, tetapi kalau saya bertindak demikian akan lebih banyak keburukan akan timbul. Jadi buat apa dedah aib orang,” tambah beliau.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan Pelancaran Dana Pembinaan Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin sebagai pembentang kertas kerja kedua. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -