Banjir di Johor makin buruk, PAS bertindak segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Johor telah menerima laporan keadaan bencana banjir yang sedang berlaku di beberapa kawasan di Johor, semalam.

Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin berkata, laporan yang telah diberikan oleh Bilik Gerakan Negeri memaklumkan bahawa tiga kawasan telah dinaiki air iaitu kawasan Labis, Sekijang dan Segamat.

- Advertisement -

“PAS Johor telah mengambil tindakan awal dengan mengarahkan Khidmat Malaysia negeri membuka bilik gerakan di Simpang Renggam manakala Khidmat Malaysia di kawasan-kawasan tersebut telahpun membuka bilik operasi masing-masing bagi persediaan untuk membantu mangsa banjir,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, menurut laporan Bilik Gerakan Negeri, mangsa yang telah terlibat telah melebihi 1,623 orang manakala sebanyak 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor.

Sehubungan itu, ujar beliau PAS Johor akan memantau keadaan bencana banjir di  negeri itu dan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan bencana banjir.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata terdapat pertambahan lapan lagi PPS di daerah Segamat iaitu Balai Raya Pogoh Tengah, Balai Raya Kampung Pudu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, Balai Islam Kampung Gubah, Sekolah Agama Gemereh, Balai Raya Kampung Bukit Tunggal Baru, Balai Raya Sekolah Kebangsaan Kampung Mendusut Lama dan Bangunan GPW Felda Mendoi, menjadikan kesemuanya 27 PPS dibuka, manakala Tangkak kekal satu PPS yang dibuka.

Menurutnya, lapan daerah masih menerima hujan kecuali Tangkak dan Pontian, yang mendung.

Katanya, dua sungai kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Sri Makmur, Tangkak. – HARAKAHDAILY 2/1/2022

- Advertisement -