Kedah siap sedia hadapi banjir

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Semua agensi di Kedah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di negeri itu berdasarkan ramalan Meteorologi Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sedang berusaha menambah 10 bot penyelamat yang akan diuruskan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini PDRM sudah memiliki 26 buah bot penyelamat dan ini tidak termasuk yang dimiliki Jabatan Laut, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

“PDRM minta tambah 10 buah lagi dan kita sedang usahakan pembeliannya,” jelasnya pada sidang media sempena Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB bertempat di Dataran Jam Besar, Sungai Petani, semalam.

Menurutnya lagi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memanggil semua agensi di bawah kendalian PDRM termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan untuk bersedia menghadapi kemungkin berkenaan.

Dalam masa yang sama beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta amaran agensi berkaitan.

“Seluruh rakyat Kedah diminta sentiasa peka sekiranya hujan lebat dan berlaku kenaikan paras air serta perlu berpindah maka patuhilah arahan, selamatkan diri dan nyawa terlebih dahulu.

“Sungguhpun begitu, saya mengharapkan tidak berlaku banjir sepertimana yang terjadi di beberapa negeri Semenanjung Malaysia kini,” ujar beliau lagi.

Kata Sanusi, pengalaman banjir besar (Kedah) pada 2010 lalu menjadikan ‘turning point’ kepada negeri itu untuk bersiap sedia setiap tahun.

Tambahan pula, Kedah juga mengalami banjir setiap tahun namun kerapkalinya menjelang Disember hingga Mac berlaku kemarau.

“Banjir di negeri ini dah menjadi rutin. Semua agensi berkaitan kebanyakannya dah bersedia. Negeri lain mungkin tak pernah hadapai masalah, kurang bersedia dan jadi kelam kabut sikit.

“Pegawai daerah (Kedah) pun sentiasa ‘alert’ kepada keselamatan di daerah masing-masing dan tahu apa tindakan yang perlu buat. Syukurlah saya dapat pegawai daerah seperti itu.

“Saya turun jam 2.00 pagipun mereka dah siap ada. Bertuahlah sebab mereka faham dan tahu apa kerja yang perlu dibuat,” katanya lagi.

Sementara buat masa ini tegas beliau Kedah belum mempunyai sistem penggera (amaran siren) sekiranya paras air sungai naik ke paras bahaya.

Sehingga kini, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengawal selia serta mengemaskini berkenaan kedudukan paras air sungai di negeri ini.

“Kita belum ada amaran siren seperti di Jepun. Tetapi paras air sungai di Kedah sentiasa pantau oleh JPS dan MADA,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain Sanusi memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membayar RM1,000 kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terlibat dengan banjir di Baling, beberapa bulan lalu.

Bayaran yang diserahkan pada minggu lalu itu diberikan kepada keluarga yang perpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah disediakan. – HARAKAHDAILY 2/1/2021

- Advertisement -