Turun kadar faedah: Presiden PAS ucap tahniah kepada Erdogan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan ucapan tahniah kepada Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan yang tegas dalam tindakannya menurunkan kadar faedah Turki.

- Advertisement -

“Tahniah diucapkan kerana tetap teguh dengan pendirian Presiden dalam memotong kadar faedah yang sekian lama dikenakan yang merupakan suatu perbuatan yang diperangi oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Sekalipun pihak kalian mendapat tentangan daripada pelbagai pihak,” ujar beliau.

Perkara ini telah disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, melalui sepucuk surat yang telah dihantar kepada Erdogan melalui Kedutaan Turki di sini, hari ini.

“Jihad ekonomi menjadi suatu kewajipan yang sangat besar terutamanya dalam membebaskan umat Islam daripada terikat dengan mata wang puak penjajah. Pihak kami mempunyai sumber dan hasil mahsul yang boleh disalurkan bagi membantu kalian dengan izin Allah SWT atas dasar kerjasama sesama umat Islam,” katanya lagi.

Dalam surat itu juga, Presiden PAS mencadangkan supaya resolusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur sebelum ini antara Malaysia, Turki, Qatar dan Iran dilaksanakan supaya dapat membantu Turki dalam menghadapi cabaran dan sekatan ekonomi.

Menurut laporan berita, sehingga kini, kadar faedah Turki telah dipotong sebanyak empat kali daripada 19 peratus diturunkan hingga 15 peratus.

Erdogan juga mengumumkan bahawa kadar faedah akan terus diturunkan dalam usaha untuk mengawal inflasi.

Tindakan Erdogan tersebut yang dikritik teruk oleh parti pembangkang, kebanyakan ahli ekonomi serta Timbalan Gabenor Bank Pusat Turki yang menyatakan ia bakal memburukkan lagi ekonomi Turki.

Namun keadaan sebaliknya berlaku apabila nilai mata wang Lira meningkat lebih 40 peratus setelah pengumuman oleh Erdogan tentang pelan ekonomi baharu yang bakal dilaksanakan oleh Turki.

Sebelum Erdogan mengumumkan pelan ekonomi baharu isnin lepas, Lira berada pada nilai terendah 18.4 berbanding Dollar. Nilai Lira sekarang berada sekitar 10.6 berbanding Dollar.

Presiden Turki itu menyebutkan bahawa Turki akan mula meninggalkan sistem ekonomi tradisional yang mengawal inflasi dengan kadar faedah tinggi

Malah, Erdogan menyebutkan bahawa Turki akan menumpukan polisi ekonomi yang berteraskan pelaburan, peluang pekerjaan, sektor pengeluaran, eksport dan pertumbuhan ekonomi melalui lebihan akaun semasa.

“Sesungguhnya setiap kesukaran disertai dengan kemudahan. Allah SWT pasti akan membantu hamba-hamba-Nya yang membantu memperjuangkan agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa, ujar Tuan Guru yang menyokong tindakan Erdogan itu.

Isu yang hangat dibincangkan itu turut mendapat pandangan daripada Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Ramai yang begitu cemburu dengan kejayaan Turki di bawah Edrogan, baik di dalam Turki mahupun luar negara. Jika Turki berjaya serta mampu bangkit menjadi kuasa utama ekonomi dunia dalam beberapa tahun lagi, banyak negara khuatir Turki mampu mencetuskan kembali kebangkitan Islam di dunia terutamanya di Eropah.

“Mungkin disebabkan itu, ada perancangan di sebalik tabir untuk melemahkan Turki dengan menyasarkan struktur ekonominya yang berkembang baik walaupun berhadapan dengan penularan wabak pandemik Covid 19 yang hampir melumpuhkan ekosistem ekonomi dunia namun saat ini, Turki berjaya mengharunginya,” ujar Muhammad Khalil. – HARAKAHDAILY 27/12/2021

- Advertisement -