MAIWP agih bantuan tambahan RM35 juta kepada mangsa banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan tambahan RM35 juta menerusi dana zakat kepada mangsa banjir melalui Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 2.0.

MAIWP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan tambahan itu meliputi RM10 juta untuk mangsa banjir di luar Wilayah Persekutuan iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu selain RM3 juta bagi bantuan perubatan klinik bergerak.

- Advertisement -

Selain itu, RM3.5 juta untuk mebina semula rumah manakala bantuan membaik pulih premis iaitu rumah (RM7 juta), masjid dan surau (RM1 juta) serta maahad tahfiz, sekolah rendah agama dan tadika (RM1 juta).

“Sebanyak RM1 juta turut disalurkan bagi bantuan peralatan sekolah dan institut pengajian tinggi, bantuan moratorium dan baik pulih kenderaan masing-masing RM3 juta, RM2 juta bantuan tunai sekali beri (one-off) kepada mangsa banjir serta bantuan menyelenggara pendawaian elektrik RM500,000,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, MAIWP menyalurkan peruntukan bantuan awal RM2.25 juta kepada mangsa banjir di Wilayah Persekutuan melalui Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 1.0 pada 23 hingga 26 Dis di beberapa pusat penempatan mangsa banjir di ibu negara.

Menerusi program itu, selain bantuan kewangan, barangan kelangsungan hidup seperti keperluan kebersihan diri, ubat-ubatan, keperluan mencuci rumah, peralatan elektrik dan keperluan asas lain turut diagihkan kepada mangsa.

MAIWP turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang tampil bersama MAIWP dalam membantu mangsa banjir di Wilayah Persekutuan.

“Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar berjaya dilaksanakan MAIWP adalah hasil daripada komitmen pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Dengan zakat anda, MAIWP mampu melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan,” menurut MAIWP.

MAIWP turut menyeru masyarakat supaya menjadi mata atau telinga dengan membantu melaporkan kesusahan di sekeliling kepada agensi itu. – BERNAMA

- Advertisement -