Israel rancang gandakan penempatan haram di Bukit Golan

- Advertisement -

BUKIT GOLAN: Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, mengumumkan negaranya akan menggandakan bilangan penempatan di wilayah diduduki Bukit Golan untuk memperkukuhkan penguasaan Israel di wilayah yang dirampas dari Syria, lebih lima dekad lalu.

Bercakap dalam mesyuarat Kabinet khas di sini semalam, beliau berkata pengiktirafan pentadbiran Donald Trump terhadap kedaulatan Israel ke atas kawasan itu dan tiada tanda pentadbiran penggantinya, Joe Biden, untuk mengubah keputusan itu, mendorong Tel Aviv membuat pelaburan baharu di situ.

- Advertisement -

“Inilah masa kita. Inilah masa Bukit Golan. Selepas bertahun-tahun yang panjang dan statik dari sudut penempatan, matlamat hari ini ialah menggandakan penempatan di Bukit Golan,” katanya.

Penguasaan Israel terhadap wilayah itu akan menyulitkan sebarang usaha pada masa hadapan untuk berdamai dengan Syria, pemilik berdaulat Bukit Golan sehingga Jun 1967.

Bennett berkata, peperangan dan kacau bilau di Syria menyebabkan idea untuk Israel menguasai wilayah itu dapat diterima oleh dunia antarabangsa.

Sebahagian besar Bukit Golan seluas 1,800 kilometer persegi menempatkan sempadan Israel dan Syria, ditakluki oleh Israel dalam Perang Enam Hari yang melibatkan Syria, Jordan dan Mesir.

Sejak merampas Bukit Golan, berlaku kejadian berbalas tembakan di sempadan. Namun konflik paling besar adalah ketika Perang Arab-Israel 1973 yang juga dikenali sebagai Perang Ramadan oleh negara Arab dan Yom Kippur bagi Israel.

Dalam peperangan itu, Israel berdepan Mesir di Semenanjung Sinai dan Syria di Bukit Golan. Ketika Israel hampir kalah, namun bantuan kelengkapan tentera Amerika Syarikat menyebabkan negara haram Yahudi itu mencapai kemenangan.

Bukit Golan yang ditawan oleh Israel pada 1967

Amerika Syarikat juga adalah negara pertama di dunia mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan, manakala dunia antarabangsa menyifatkan wilayah itu sebagai diduduki oleh Israel.

Usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR 242) dengan jelas menyatakan arahan pengunduran tentera Israel dari wilayah yang ditawan ketika Perang Enam Hari, iaitu Semenanjung Sinai, Tebing Barat dan Bukit Golan.

UNSCR 338 yang dilulus ketika Perang Ramadan atau Yom Kippur menggesa pihak terlibat mematuhi UNSCR 242.

Namun UNSCR 497 secara terperinci menjelaskan tindakan haram pencerobohan Israel yang menyebut keputusan Israel melaksanakan undang undang, bidang kuasa dan pentadbiran di Bukit Golan adalah terbatal dan tidak sah.

Israel menyerahkan kembali Semenanjung Sinai kepada Mesir, namun tetap mengekalkan penjajahan ke atas Tebing Barat dan Bukit Golan.

Bukit Golan penting untuk tujuan keselamatan sehingga dimasukkan dalam peta Israel kerana menguasai dataran tinggi itu memberi kelebihan untuk menghadapi Iran dan sekutu di Syria.

Berpuluh ribu penduduk Israel mendiami Bukit Golan yang juga menjadi tempat tinggal penduduk Druze yang menentang pendudukan Israel. – HARAKAHDAILY 27/12/21

- Advertisement -