Petani, penternak lega dibantu MAFI

- Advertisement -

JELEBU: Petani dan penternak meluahkan rasa lega selepas Timbalan Menteri Pertanian, Dr Nik Zawawi Salleh membantu mereka dalam usaha membangunkan semula industri pertanian selepas dilanda banjir.

Menurut Nik Zawawi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengembleng seluruh tenaga melalui agensinya dalam mengembalikan kawasan pertanian yang musnah akibat banjir.

- Advertisement -

“Bantuan daripada kerajaan akan sampai, bagi menjana semula pertanian serta memberi semula insentif kepada petani yang dilanda bencana alam.

“Saya akan pastikan petani dapat meneruskan semula apa yang diusahakan mereka sebagai sumber mata pencarian rezeki keluarga.

“Perkara ini telahpun diputuskan melalui mesyuarat MAFI dan ianya akan disalurkan scepat mungkin bagi meringankan beban petani yang terkesan banjir,” katanya dalam sesi lawatan ke Kampung Chengah, Jelebu, pada Sabtu.

Menurutnya, MAFI akan membuat kadar anggaran kos kerugian akibat bencana alam dan menghulurkan bantuan pertanian secepat mungkin.

Dr Nik Zawawi dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan MAFI Prihatin menyumbangkan bakul makanan asas yang mempunyai beras, tepung, minyak masak kepada 20 buah keluarga yang terjejas.

Jelebu merupakan daerah yang paling teruk terjejas dalam Negeri Sembilan sejak kejadian banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu sehingga ke hari ini.

Turut hadir bagi program tersebut adalah wakil Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sembilan/Melaka, Mohammad Ismazainureen Abu Hassan.

Sementara itu, seorang penternak lembu, Roziah Kamarudin 43, berkata, dia berterima kepada Dr Nik Zawawi, kerana turun padang, serta bertindak cepat bagi membantu mereka yang terlibat banjir.

“Selepas banjir tempoh hari, saya seakan hilang punca memikirkan nasib lembu-lembu kerana makanannya yang ada disimpan semuanya hilang dihanyut air.

“Saya kerugian lebih kurang RM 60,000 akibat banjir yang dihadapi ini, namun hidup perlu diteruskan, sedih memang sedih, jadi saya amat mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Saya berharap bantuan nanti mampu memulihkan semula semua usaha kami anak tani di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2021

- Advertisement -