Kadar gaji minimum ambil kira kepentingan semua pihak

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Gaji Negara yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu, kini dalam proses penyediaan Kertas Jemaah Menteri untuk mengemukakan syor berhubung kadar gaji minimum kepada Kabinet untuk pertimbangan dan persetujuan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata syor itu adalah berdasarkan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020 yang dijalankan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.

- Advertisement -

Katanya, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara ketika mengadakan kajian itu mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus yang melibatkan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input berhubung impak pelaksanaan gaji minimum terhadap sosiokonomi negara.

“Proses kajian semula turut mengambil kira petunjuk sosioekonomi seperti pendapatan garis kemiskinan, penengah gaji (keupayaan majikan untuk membayar gaji), kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan kos sara hidup.

“Petunjuk sosioekonomi ini akan mencerminkan pasaran tenaga kerja semasa,” katanya menjawab soalan lisan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara sentiasa menggunakan pendekatan seimbang dengan mengambil kira kepentingan majikan, pekerja dan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan prihatin dengan kesan kenaikan kadar gaji minimum terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Oleh itu, katanya peningkatan gaji minimum perlu dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan, serta menjejaskan operasi syarikat dan mendedahkan pekerja kepada risiko kehilangan pekerjaan.

“Peningkatan kadar gaji minimum yang terlalu tinggi dan drastik juga boleh menjejaskan daya saing negara menyebabkan pasaran buruh negara akan berdepan cabaran untuk mencipta pekerjaan baharu yang berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/21

- Advertisement -