Bantu anak muda Pahang bina jati diri, basmi perjudian

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang diharap mempunyai rancangan terhadap pembangunan aspek spritual dan kerohanian dengan perhatian sewajarnya tanpa menumpu kepada bentuk fizikal dan material semata-mata.

Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan) menegaskan, ketika sama kerajaan mesti membasmi unsur negatif yang boleh mengancam kehidupan anak muda pelbagai kaum antaranya perjudian.

- Advertisement -

“Saya mencadangkan kerajaan negeri agar dapat mencontohi usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian,” ujarnya menyebabkan Chow Yu Hui (DAP-Tras) bangun membantah.

Lontaran tersebut menjadi antara butiran perbahasan Belanjawan 2022 Pahang oleh Ustaz Zakhwan di Persidangan DUN di Dewan Sri Pahang, di sini pada minggu lalu.

Beliau memuji inisiatif telah dilaksana kerajaan negeri kepada golongan muda khususnya generasi FELDA menerusi Rumah Rakyat Pahang, PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang dan Skim Tanah Warisan dan Skim Tanah Rakyat.

Jelasnya, kawasan yang sebelum ini tidak dibenarkan untuk pembangunan, tetapi kini telah boleh dijadikan Rancangan Tanah Berkelompok bagi tujuan kediaman dan tapak rumah generasi anak FELDA.

Turut disuarakannya adalah keperluan penduduk di DUN beliau kepada bekalan air bersih di mana sehingga kini masih bergantung kepada sumber air bukit dan naik taraf Loji Air Seberang Tembeling antara penyelesaiannya.

Begitu juga keputusan Kerajaan Persekutuan menyambung jalan Ulu Tembeling-Dungun diharap dapat diberikan perhatian sama kepada pembinaan jalan dalam melibatkan beberapa perkampungan disebutnya.

“Memohon Jambatan Sungai Kerak diberi perhatian segera kerana ia kawasan utama akan menerima limpaham air sungai bila musim tengkujuh menyebabkan terputusnya hubungan melibatkan ribuan perduduk,” ujarnya.

Beliau sempat merakamkan penghargaan atas peruntukan RM1 juta untuk Pusat Konservasi Gajah dan pampasan kepada petani kerana menjadi mangsa kerosakan harta benda akibat gajah liar. – HARAKAHDAILY 14/12/2021

- Advertisement -