156 majikan didakwa dan dikenakan penalti RM1.7 juta

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Sebanyak 156 kes pendakwaan terhadap majikan yang gagal menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan dijalankan dengan penalti sebanyak RM 1.7 juta sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.

Melalui 25,605 aktiviti pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sepanjang tempoh itu, sebanyak 386 kompaun bernilai RM1.44 juta juga dikeluarkan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata sebanyak 5,757 notis larangan dan 3,119 notis perbaikan juga dikeluarkan, iaitu notis yang memberi nasihat atau pandangan supaya penambahbaikan dilakukan.

Selain itu, katanya 30,752 surat arahan penambahbaikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja diberikan kepada majikan.

“Aktiviti penguatkuasaan yang meliputi pelbagai industri dan sektor pekerjaan, bertujuan memastikan majikan mematuhi tanggungjawab yang ditetapkan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), ” katanya menjawab soalan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara, hari ini.

Wan Martina meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sejauh mana penguatkuasaan yang dijalankan oleh JKKP terhadap hak-hak pekerja daripada majikan mereka dari sudut kebajikan, keselamatan dan kesihatan.

Mengikut Seksyen 15 Akta 514, Awang berkata antara tanggungjawab am majikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan ketika bekerja ialah menyedia dan menyelenggara loji dan sistem kerja selamat dan tanpa risiko kesihatan.

Katanya, majikan juga perlu membuat langkah kawalan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan berkaitan penggunaan dan pengendalian loji dan bahan serta mengadakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Selain itu, katanya majikan perlu menyedia dan menyelenggara cara masuk dan keluar ke tempat kerja dengan selamat dan tanpa risiko kesihatan serta menyedia dan menyelenggara persekitaran kerja dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.

Beliau berkata, langkah memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang perlu diambil oleh majikan juga dinyatakan dalam Peraturan, Kod Amalan dan Garis Panduan berkaitan. – HARAKAHDAILY 14/12/21

- Advertisement -