Program GIG bantu pekerja bebas tingkat kemahiran

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Program Gerak Insan Gemilang (GIG) dengan bantuan kewangan RM150 juta membolehkan 26,273 peserta meningkatkan kemahiran diri dan pendapatan dengan menjadi pekerja bebas terlatih.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata program GIG bertujuan membantu rakyat melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan khusus melalui latihan intensif dan berfokus secara percuma.

- Advertisement -

Katanya, pekerjaan ekonomi gig tidak terhad hanya kepada menjadi penghantar barangan atau makanan, malah merangkumi perkhidmatan profesional kepada majikan seperti dalam sektor teknologi maklumat, penjagaan kesihatan dan sektor kewangan.

“Dalam rangka tindakan ekonomi digital, kerajaan memperkenalkan program GigUp untuk melengkapkan pekerja ekonomi gig dengan kemahiran yang bersesuaian,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ John Ambrose di Dewan Negara, hari ini.

John Ambrose meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan usaha kerajaan dalam meningkatkan kemahiran insaniah pekerja ekonomi gig untuk meningkatkan tahap pekerjaan dan gaji.

Awang berkata, kemahiran insaniah merangkumi aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif berkaitan kemahiran bukan akademik.

Katanya, ini termasuk nilai positif, kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan dengan kemahiran Insaniah adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan bersifat global serta pesat.

Katanya, ini yangn mendorong kerajaan melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad memperkenal dan melaksanakan program Gerak Insan Gemilang di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). – HARAKAHDAILY 9/12/21

- Advertisement -