Kerajaan beri kebenaran 29 syarikat eksport pasir ke luar negara

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Sebanyak 29 syarikat mendapat lesen untuk mengeksport pasir ke luar negara pada tahun ini dengan jumlah kuantiti pasir yang diluluskan sebanyak 455,349,439 metrik tan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata kelulusan kepada syarikat untuk mengeksport pasir ke luar negara bergantung kepada beberapa syarat yang ditetapkan.

- Advertisement -

Katanya, antara syarat itu ialah keutamaan untuk kawasan berisiko tinggi berlaku banjir atau kawasan strategik yang pengeluaran pasir memberi faedah kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan rakyat secara keseluruhan.

“Pengeluaran pasir juga perlu dijalankan secara terkawal untuk mengurangkan risiko kemerosotan terhadap alam sekitar, aktiviti ekonomi setempat dan kawasan sensitif.

“Syarat lain ialah kawalan yang dikenakan terhadap aktiviti pengeksportan, meliputi setiap rantaian nilai ekonomi dari pengeluaran sumber, pemprosesan, pengangkutan hingga kepada pengeksportan dengan keutamaan terhadap pulangan ekonomi dan keperluan pasir bagi kegunaan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Isnaraissah Munirah Majlis@Fakharuddy (Warisan-Kota Belud) ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan membenarkan pengeksportan pasir sungai secara kes demi kes berdasarkan permohonan yang syarikat kemukakan.

Katanya, permohonan berkenaan diproses mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Pemohon perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan sumber pasir sungai (konsesi) daripada pihak berkuasa negeri dan melengkapkan semua dokumentasi teknikal.

“Semua permohonan disemak dan dinilai secara teknikal oleh Jawatankuasa Teknikal Pengeksportan Pasir Ke Luar Negara (JKTEP),” katanya.

Menurutnya, kelulusan pengeksportan pasir yang dikeluarkan KeTSA khusus untuk tapak konsesi yang diluluskan pihak berkuasa negeri dengan perincian seperti kuantiti pasir yang boleh dieksport, destinasi eksport dan tempoh pengeksportan boleh dijalankan.

Menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah, Takiyuddin berkata, Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada sebuah syarikat, Warisan Teguh Gemilang Dredging Sdn Bhd, untuk mengambil pasir sungai di Sungai Abai, Kota Belud, akibat lambakan pasir di muara sungai itu selepas gempa bumi yang berlaku di situ.

“Kita memberi kebenaran kepada syarikat ini untuk mengeluarkan sebanyak 3.5 juta metrik tan pasir untuk mengelakkan banjir berlaku lagi di situ,” katanya.

Isnaraissah Munirah sebelum itu berkata, banjir di Kota Belud berpunca akibat kecetekan dasar muara sungai akibat gempa bumi di Kota Belud.

Katanya, difahamkan harga pasir muara sungai di Kota Belud murah dan sukar untuk mencari pembeli berikutan pasir berkenaan tidak sesuai untuk pembinaan. – HARAKAHDAILY 9/12/21

- Advertisement -