Jendela DBP martabatkan penerbitan bahasa Melayu

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membangunkan pelantar digital, iaitu Jendela DBP dalam usaha memartabatkan penerbitan berbahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Dato’ Mohamad Alamin, berkata pelantar ini merupakan pusat sehentian digital bagi menyebarluaskan maklumat berkaitan bahasa, sastera, penerbitan dan bidang lain, termasuk sains dan teknologi.

- Advertisement -

Sehingga kini, katanya lebih 500,000 pengunjung telah melayari pelantar ini sejak mula beroperasi pada Mei lalu.

“DBP melaksanakan pelbagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Akta 213),” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Ustaz Husain Awang di Dewan Negara, hari ini.

Ustaz Husain yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, bertanyakan usaha untuk mengangkat peranan dan fungsi DBP dalam memartabatkan Bahasa Melayu pada waktu ini.

Mohamad berkata, usaha mengangkat peranan dan fungsi DBP dilaksanakan melalui pembinaan, pengembangan dan penerbitan bahasa Melayu.

Katanya, DBP giat bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan agensi awam untuk menerbitkan judul baharu dalam bentuk bercetak dan digital dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Bagi memperluas khalayak pembaca buku berbahasa Melayu, DBP turut terlibat dalam penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur saban tahun,” katanya.

Beliau berkata, DBP juga akan terus melipatgandakan usaha mengadakan program bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara.

“Kerajaan dan kementerian terus menyokong DBP dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -