PRN Melaka: Tiga teras kempen rancak di medsos

- Advertisement -

MELAKA: Tiga teras kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang rancak di media sosial (medsos) diangkat oleh parti-parti yang bertanding iaitu integriti, keislaman dan keprihatinan kepada rakyat.

Menurut Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Negeri Melaka, Dr Wan Nik Wan Yusoff, Perikatan Nasional (PN) mengangkat isu integriti calon dan kepimpinan utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai modal besar memaut sokongan.

Katanya, sandaran utama kepada keupayaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali gus mengajak rakyat menilai rekod peribadi kepimpinan BN dan PH.

Tambahnya, PN turut menampilkan nilai-nilai keislaman sebagai isu untuk memaut keyakinan rakyat, khususnya berkaitan orang Melayu.

- Advertisement -

“Selain aspek akhlak pemimpin, turut dibicarakan isu penjualan arak di negeri yang ditadbir PAS yang menimbulkan persepsi negatif ke atas sikap pemimpin PH yang semacam menentang usaha membendung gejala arak dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua pihak begitu ghairah membangkitkan isu-isu keprihatinan terhadap rakyat.

Malah, ujarnya pasukan kempen calon masing-masing tidak ketinggalan dalam mengungkapkan ikrar untuk membawa kemajuan kepada rakyat, khususnya peniaga kecil, belia dan wanita serta golongan OKU.

Katanya, apapun isu ekonomi rakyat didapati banyak disentuh.

Namun, ujar beliau tidak kurang pula, PN membawa isu kesejahteraan rakyat berkaitan banjir dan kegagalan kerajaan negeri di bawah PH sebelum ini menambah baik kemudahan asas seperti perparitan selama 22 bulan mentadbir negeri.

“Di situ adanya nilai kegagalan bekas ketua menteri PH.

“Hal ini, mengundang pengundi membuat pilihan tatkala PN mengumumkan calon ketua menteri pada saat akhir adalah seorang wanita,” ujarnya.

Ini, ujar beliau dilihat mampu memberi saingan dan pilihan yang cukup kuat, lebih-lebih lagi calon wanita itu adalah bertaraf tokoh, bekas ketua puteri dan mewakili generasi kepimpinan baru.

Justeru, tambahnya tidak terkejut jika ia mendapat perhatian pengundi wanita, terutama golongan muda dan menang.

“Kesimpulannya, berdasarkan tiga teras isu kempen yang berlegar dalam kempen PRN Melaka kali ini, insya-Allah PN mampu meraih kemenangan, paling tidak mampu menjadi penentu yang signifikan dalam pembentukan kerajaan negeri selepas 20 November ini,” katanya.

Hari ini adalah hari mengundi PRN Melaka yang menyaksikan seramai 112 calon bertanding membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 20/11/2021

- Advertisement -