MELAKA: Hari ini adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula pukul 8.00 pagi ini yang membabitkan 217 pusat pengundian.
Orang ramai yang mahu mengundi mula kelihatan berada di kawasan pusat pengundian setelah dibuka melibatkan 1,109 saluran bagi membuka ruang kepada rakyat negeri ini memberi mandat kepada pemimpin yang akan menerajui kerajaan negeri.
Keadaan cuaca yang agak redup pada pagi ini setelah hujan malam tadi memberikan keselesaan kepada para pengundi untuk membuang undi pada sebelah pagi dengan tenang.
Kelihatan golongan dewasa dan orang tua datang awal ke pusat pengundian untuk menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan baharu.
Sehingga jam 10.00 pagi, kebanyakan pusat pengundian masih belum rancak dengan kehadiran para pengundi yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada hari ini, seramai 476,037 pengundi biasa daripada jumlah keseluruhan 495,195 pengundi mengundi di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.
Proses pengundian dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya.
Seramai 112 calon daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Nasional dan Bebas layak bertanding pada PRN Melaka kali ini, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua Menteri. – HARAKAHDAILY 20/11/2021