Seorang maut, 27 cedera gempa bumi di selatan Iran

Runtuhan bangunan di Selatan Iran selepas dilanda gempa bumi gempa bumi berukurn 6.3 magnitud.
- Advertisement -

TEHRAN: Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut dan 27 lagi tercedera selepas gempa bumi sederhana menggegarkan selatan Iran pada hari Ahad, menurut Timbalan Gabenor, Reza Modarres kepada Agensi Berita Fars, yang dilaporkan Press TV milik kerajaan Iran.

Menurut laporan berkenaan, pasukan kecemasan menilai kesan gempa bumi itu berukuran 6.3 magnitud dengan gegaran susulan turut dialami sehingga ke Dubai.

- Advertisement -

Pengarah Urusan konglomerat elektrik Tanavir, Masoud Sadeghi pula memberitahu Press TV, sebahagian daripada bandar pelabuhan Bandar Abbas, di wilayah Hormozgan, mengalami gangguan elektrik akibat gempa bumi tersebut.

Wilayah yang sama dilanda satu lagi gempa bumi tidak lama sebelum itu  dengan magnitud 6.0 dan kedalaman 5.6 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Ketua Pusat Seismologi Iran, Bayrom Nejad mengesahkan dua kejadian gempa bumi  itu sambil memberitahu, kejadian itu berpusat di  Pulau Qeshm yang terletak di Teluk Parsi.

Dalam  pada itu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi telah mengarahkan pihak berkuasa wilayah untuk mengutamakan operasi menyelamat dan bantuan, lapor agensi berita IRNA.

Menteri Dalam Negeri Iran, Ahmad Vahidi, pula turut meminta sokongan kepada orang ramai yang berada di kawasan yang terjejas.

“Pasukan tentera laut, persatuan bulan sabit merah, kaki tangan pejabat gabenor jeneral dan ibu pejabat pengurusan krisis semua kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Gempa bumi itu bagaimanapun tidak menjejaskan loji tenaga nuklear di Wilayah Bushehr berdekatan, ulas pihak berkuasa Iran. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -