Manifesto PAS Terengganu PRU14 berjaya dilaksanakan

- Advertisement -

PAGI ini bersempena Sidang DUN Terengganu (Bajet), saya kemukakan soalan kepada pihak kerajaan mengenai proses pelaksanaan Manifesto PAS sewaktu PRU14 yang lalu. Ramai juga ADUN BN yang mengambil bahagian mengemukakan soalan tambahan dan semuanya dijawab oleh pihak kerajaan dengan meyakinkan.

- Advertisement -

Dari 20 manifesto berkenaan, yang berbaki hanya 3 sahaja lagi yang belum dilaksanakan. Tiga yang berbaki itu ialah:

1. Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Islam milik kerajaan negeri yang menggantikan KUSZA.
2. Mewujudkan Bandar Baharu Lestari di setiap daerah.
3. Mengurniakan pencen rakyat RM50 sebulan bagi warga emas yang layak.

Meskipun 3 manifesto ini belum dilaksanakan, prosesnya telah berjalan dan akan memulakan langkah untuk dijayakan. Semoga Kerajaan Negeri Terengganu mendapat kemudahan dalam melaksanakan semua yang berbaki ini.

Manakala semua manifesto yang telah berjalan bukanlah bererti ia telah diselesaikan buat rakyat secara keseluruhan. Tetapi ia telah berjalan dan terus berjalan untuk dijayakan. Semua perjalanan itu memiliki rekod di pihak kerajaan negeri. 

Sebagai contoh, lesen motosikal percuma belia. Ia akan terus berjalan pada setiap tahun untuk yang berkelayakan. Setiap tahun kerajaan memperuntukan sejumlah wang untuk dibelanjakan bagi tujuan ini.

Tanah terkilan, ia terus bergerak. Ada yang agak lambat kerana proses mengenal pasti lot tanah yang baharu untuk diagihkan kembali kepada penerima.

Begitu juga mengenai tanah anugerah atau rumah kediaman. Permohonan tanah terus dibuka dan diproses. Manakala RTB baru juga ada yang telah mula dilaksanakan. Khususnya di daerah yang memiliki keluasan tanah kerajaan yang agak luas. 

Isu perumahan pula, beberapa lokasi perumahan hanya menunggu proses siap dan layak mendapat CCC. Jawatankuasa Pemilihan Peringkat Daerah telah mula bermesyuarat untuk memproses permohonan yang telah dihantar melalui eperumahan Terengganu. Sebahagian daerah sudah ada yang mula mengagihkan perumahan.

Untuk saya huraikan satu-satu agak panjang. Cuma saya boleh nyatakan bahawa PAS yang telah menerajui Negeri Terengganu telah berusaha gigih mengotakan apa yang mereka janjikan. Tahniah buat semua pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan & NGO Kerajaan Negeri Terengganu
ADUN Tepoh – HARAKAHDAILY 15/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/422496409236846/posts/453767656109721

- Advertisement -