Terengganu diiktiraf destinasi mesra Muslim

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu menerima pengiktirafan sebagai destinasi mesra Muslim dan jumlah kehadiran pelancong yang tertinggi di Pantai Timur pada 2020.

Selain itu Terengganu juga menerima anugerah ‘Malaysia Tourism Hero’.

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pelancongan Negeri, jumlah pelancong ke Terengganu pada 2018 seramai 4.8 juta.

Kata beliau jumlah itu meningkat kepada 5.27 juta pada tahun 2019.

- Advertisement -

“Bagaimanapun data tersebut terkesan setelah muncul pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan industri pelancongan negara.

“Namun usaha demi usaha dilakukan demi merancakkan kembali sektor pelancongan. Insya-Allah, keadaan ekonomi dan industri perlahan-lahan pulih.

“Manfaat itu akan dipulang kepada penggiat pelancongan dan seluruh rakyat serta negeri Terengganu,” katanya ketika merasmikan pelancaran Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu 2021-2025 di sini hari ini.

Menurutnya pelan tersebut dirangka sebagai usaha kerajaan negeri untuk memastikan pencapaian kualiti pelancongan berada di tahap membanggakan.

“Saya mengucap terima kasih kepada rakyat Terengganu yang sentiasa bekerjasama melayani pelancong ke negeri kita.

“Kita juga sentiasa berusaha mempromosi tempat-tempat menarik, makanan enak dan pelbagai lagi produk Terengganu. Bersama-sama kita bangunkan industri pelancongan dan menjadikan Terengganu destinasi pilihan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -