PKD Dabong bantu KTMB tolong penumpang

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA KRAI: Pusat Khidmat DUN (PKD) Dabong menjalin kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memastikan penumpang tren yang terkandas ketika musim banjir mendapat bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin, berkata pengalaman ketika banjir besar pada 2014, membolehkan bantuan dirangka, termasuk menjadikan Masjid Hijau sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menyediakan bilik kepada penumpang berkeluarga, bilik air dan penyediaan makanan.

- Advertisement -

“Kita mempunyai pengalaman mengerakkan jentera menghantar penumpang terkandas ke Sungai Durian di Kuala Krai yang dibantu KTMB. Selepas itu, mereka boleh balik sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gua Ikan di sini, semalam.

Pengurus KTMB Wilayah Timur, Roslan Ibni Tajri, pula berkata bilik pusat gerakan banjir diwujudkan di Kuala Krai, Temangan dan Kuala Lumpur bagi menghadapi banjir.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti laluan antara Tumpat dan Kuala Lipis sering ditenggelami banjir ketika musim Monsun Timur Laut setiap tahun.

“Keadaan ini berlaku setiap tahun seperti sebelum ini di Tok Uban dan Manek Urai. Di Dabong sahaja, tiga lokasi iaitu Sungai Mersik, Bukit Abu dan Kemubu sepanjang lebih satu kilometer.

“Kakitangan KTMB sudah bersedia memastikan tren berjalan lancar sepanjang musim banjir dengan kumpulan jurutera landasan melakukan rondaan secara berkala di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ku Mohd Zaki berkata pengalaman banjir besar pada 2014 juga membolehkan pihaknya melakukan persiapan menghadapi bencana banjir di Dabong.

Katanya, persediaan sedang giat dilakukan termasuk menyediakan PPS kepada penduduk yang terpaksa berpindah.

Namun, katanya persiapan paling penting ialah mendekatkan diri kepada Tuhan melalui solat hajat yang dilakukan di masjid mukim serta pimpinan tempatan.

“Pertama, kita solat hajat supaya tidak berlaku banjir seperti pada tahun 2014. Saya juga minta semua imam dan pimpinan setempat menunaikan solat hajat sebagai ikhtiar kita.

“Dari segi persiapan PPS, sebanyak 17 PPS terdapat di Dabong dengan setiap mukim mempunyai dua atau tiga PPS,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/21

- Advertisement -