Isu banjir di Merlimau jadi keutamaan Pak Alim

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA:
Isu banjir di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau akan dijadikan fokus utama sekiranya Abd Alim Shapie diberi mandat oleh pengundi di DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS itu yang lebih mesra dipanggil Pak Alim, berkata beliau memahami kesusahan penduduk yang sering kali dilanda banjir di kawasan Kilang Berapi, di sini.

Katanya, beliau simpati melihat penduduk yang terpaksa berpindah dari kediaman mereka walaupun banjir kilat yang berlaku hanya dalam tempoh beberapa hari.

“Kita tahu, kalau banjir menyusahkan penduduk. Kadang-kadang terpaksa pindah, kemudian perlu cuci rumah, ada kerugian.

- Advertisement -

“Isu yang pertama yang saya akan selesaikan jika saya diberi mandate, antaranya di Kilang Berapi.

“Di situ banyak kilang, ada lebih kurang 20 buah rumah dan air yang naik itu agak tinggi, walaupun satu dua hari, tapi banjir itu berlaku sehingga penduduk perlu berpindah,” katanya ketika bersiaran langsung di Melaka Update.

Selain itu kata Pak Alim, antara permasalahan lain yang berbangkit di Merlimau adalah terdapat banyak kilang yang ditutup di kawasan perindustrian di DUN berkenaan.

Melihat situasi itu, Pak Alim berpandangan kerajaan boleh melakukan sesuatu melalui kerjasama dengan pelabur di samping dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Sementara itu, beliau juga berhasrat untuk menumpukan perhatian kepada keperluan penduduk terhadap taman rekreasi yang menurutnya tidak dapat dinikmati oleh warga Merlimau.

“Kebanyakan setiap DUN ada taman rekreasi, tapi di Merlimau masih tiada. Jadi ini satu perkara yang perlu difikirkan,” katanya.

Selain beliau, tujuh daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal) dan Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek, lima penjuru di DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru dan sembilan DUN pula empat penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November. – HARAKAHDAILY 13/11/2021

- Advertisement -