JAKIM rai murid KAFA, SMAM

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

PUTRAJAYA:
Seramai 57 murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Sekolah Agama Menengah Malaysia seluruh negara diraikan dalam sebuah majlis penyampaian hadiah di Hotel The Everly di sini malam tadi.

Majlis Penyampaian Hadiah Ihtifal KAFA Kebangsaan dan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MISSMAM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad.

- Advertisement -

Penganjuran kedua-dua ihtifal tersebut merupakan program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan sebagai da’ie dan pemimpin dalam kalangan murid di peringkat rendah dan menengah.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Abdul Aziz Jusoh dan Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

Menurut Idris, selain sebagai platform mengetengahkan bakat mereka, pelaksanaan itu bagi memastikan objektif keperluan merit sebanyak 10 peratus untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan universiti tercapai.

Katanya, penganjuran program itu juga menjadi sebahagian daripada usaha melahirkan murid-murid yang memiliki jati diri unggul dengan akhlak dan keperibadian mulia, murif berani, berdaya saing dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

“Secara tidak langsung, hal ini membuktikan bahawa murid-murid dalam aliran agama di institusi pendidikan Islam yang bernaung di bawah LEPAI merupakan murid-murid yang hebat dan mempunyai potensi besar untuk digilap seterusnya bersinar menjadi barisan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa yang akan datang.

“Kita semua dapat melihat para peserta telah menunjukkan bakat yang sangat membanggakan menerusi acara-acara yang dipertandingkan iaitu tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan bercerita kisah al-Quran,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2021