Larang guna Ivermectin demi keselamatan rakyat

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Noor Azmi Ghazali
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan melarang penggunaan Ivermectin dalam rawatan Covid-19 selepas mengambil kira aspek keselamatan dan kepentingan rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini belum mempunyai data lengkap mengenai kesan buruk ubat antiparasit yang penggunaannya khusus untuk binatang.

- Advertisement -

Katanya, KKM ketika ini belum mengetahui secara jelas mengenai kesan lain susulan pengambilan ubat berkenaan secara luar label.

“Kita takut dos, penyerapan atau apa-apa berkaitannya (Ivermectin) boleh memberi kesan kepada manusia, sebab itu kajian dilakukan.

“Bukan kerajaan tidak mahu beri (kelulusan penggunaan Ivermectin secara luar label) tetapi kita memikirkan keselamatan dan kepentingan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan R Sivarasah (PH-Sungai Buloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), Dr Noor Azmi berkata, hasil kajian Ivermectin (I-TECH), Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

Sebaliknya, katanya KKM menyarankan Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

“Keputusan I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brasil yang tidak menyokong penggunaan rutin ivermectin dalam amalan klinikal rawatan COVID-19.

Mengenai perkembangan kajian Imervectin dalam rawatan Covid-19 yang dijalankan di Malaysia, katanya pada 3 November lalu, Institut Penyelidikan Klinikal (NIH) telah mengumumkan hasil kajian I-TECH ke atas 500 pesakit kategori 2 atau 3 Covid-19 yang dimasukkan ke hospital.

Katanya, kajian klinikal tersebut menilai keberkesanan rawatan 5 hari Ivermectin berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan penjagaan standard (kumpulan SOC) yang berdasarkan garis panduan KKM untuk pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS 2.0.

Dr Noor Azmi berkata, sesi libat urus bersama media juga dilaksanakan pada 9 November lalu dan hasil dapatan kajian mendapati kadar kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap teruk adalah sama di dalam kumpulan Ivermectin berbanding kumpulan standard of care.

Katanya, bagi purata tempoh kemerosotan penyakit Covid-19 daripada kategori 2 dan 3 kepada kategori yang lebih teruk iaitu kategori 4 dan 5, menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik berkaitan antara kumpulan IVM dan kumpulan standard of care.

“Hasil kajian mendapati tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan x-Ray dada antara kedua-dua kumpulan tersebut.

“Kebarangkalian untuk pulih daripada gejala sepenuhnya pada hari kelima penyertaan antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, yang mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik,” katanya.

Beliau berkata, analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku di dalam kumpulan IVM berbanding kumpulan SOC dengan kebanyakan adalah kes cirit birit. – HARAKAHDAILY 11/11/21

- Advertisement -