Hanya 583,427 OKU berdaftar dengan JKM

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekurang-kurangnya 15 peratus penduduk negara adalah golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau 4.8 juta orang daripada keseluruhan penduduk negara ini.

Bagaimanapun setakat 31 Oktober lalu, hanya seramai 583,427 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

- Advertisement -

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Rina Harun, berkata kerajaan menyedari perkara ini dan yakin bilangan OKU yang berdaftar dengan JKM dapat dipertingkatkan melalui pengunaan MyDaftar OKU.

Katanya, sejak MyDaftar OKU dilancarkan pada 27 Oktober lalu, sebanyak 4,932 permohonan baharu sedang diuruskan oleh JKM.

“Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 OKU akan menerima Kad OKU Digital pada bulan ini. Indeks Prestasi Utama (KPI) ini dirangka dengan strategi untuk memastikan kesaksamaan dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh golongan ini dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Seri Panglima Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) di Dewan Rakyat, hari ini.

Rina berkata, permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian memudahkan OKU kerana tidak perlu mengisi borang secara manual, sekali gus tidak perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.

Menurutnya, pengisian borang permohonan pendaftaran OKU dan pengesahan ketidakupayaan oleh pakar, pegawai atau pengamal perubatan secara dalam talian sahaja dengan menggunakan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).

“Kad OKU diperolehi dengan cepat dalam tempoh 24 jam melalui dalam talian selepas diluluskan, tanpa menunggu penghantaran secara fizikal seperti amalan sebelum ini.

“Kad pendaftaran juga lebih mesra OKU kerana boleh disimpan dalam telefon dan memudahkan OKU mendapatkan semua kemudahan yang mengaplikasi kod QR,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/21

- Advertisement -