Penarik beca, pengusaha bot penambang terima insentif khas RM1,200

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM79,200 sebagai insentif khas kepada 49 penarik beca dan 17 pengusaha bot penambang di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata pembayaran insentif tersebut diselaraskan oleh Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), menerusi Jabatan Pelancongan Negeri.

- Advertisement -

“Golongan terbabit adalah yang terjejas pendapatan terutama pada musim pandemik yang melanda akan menerima RM1,200 setiap seorang.

“Bayaran insentif tersebut diberikan untuk tempoh enam bulan iaitu RM200 sebulan melibatkan bayaran dari bulan Julai hingga Disember 2021,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Sumbangan Kepada Agen Promosi Pelancongan (Beca dan Bot Penambang) di Event Space, TD1303, di sini hari ini.

Tambah Ariffin, pembayaran insentif itu akan diteruskan pada tahun hadapan sebanyak RM200 sebulan.

“Kita akan bayar setiap tiga atau enam bulan sekali dan berharap bantuan ini mampu meringankan beban mereka,” ujarnya.

Salah seorang penerima bantuan beca, Yahya Ismail, 79,  Kampung Gong Tok Nasek berkata bantuan hari ini akan digunakan sebaik mungkin.

Dia yang hampir 40 tahun membawa beca berkata sebahagiannya akan digunakan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya bagi perbelanjaan dapur dan simpanan kecemasan

“Memang kehidupan agak sukar ketika semua aktiviti disekat, hanya mengharapkan bantuan anak-anak.

“Masa sebelum COVID-19, sebulan boleh dapat sehingga RM500 tapi sekarang nak dapat RM100 pun susah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Yahya turut bersyukur apabila mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM1,600 setahun. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

Sumber Asal: https://www.trdi.my/penarik-beca-pengusaha-bot-penambang-terima-insentif-khas-rm1200

- Advertisement -