Bantah mandat vaksin Covid-19: Warga New Zealand tunjuk perasaan

- Advertisement -

AUCKLAND: New Zealand memperkukuh langkah keselamatan di bangunan parlimennya pada hari Selasa ketika beribu-ribu orang berkumpul untuk membantah mandat vaksin Covid-19 dan perintah berkurung oleh kerajaan.

Hanya dua pintu masuk bangunan parlimen yang dikenali sebagai Beehive dibuka sementara pintu lain ditutup yang menyaksikan kehadiran anggota polis dan keselamatan.

- Advertisement -

Senario sebegitu belum pernah berlaku sebelum ini di situ yang menyaksikan kebanyakan penunjuk perasaan tidak memakai pelitup muka berarak melalui pusat bandar Wellington dan berkumpul di luar bangunan parlimen berkenaan.

Ketika demonstrasi berlangsung secara aman, ramai orang dilihat memegang papan tanda dan sepanduk dengan mesej seperti ‘kebebasan’ dan ‘Kiwi bukan tikus makmal’serta menjerit slogan berkenaan kerana mereka menuntut kerajaan membatalkan mandatori vaksinasi wajib dan menghapuskan sekatan, menurut laporan Reuters.

New Zealand telah bergelut untuk melawan wabak Covid-19 varian Delta yang begitu mudah berjangkit di negara itu pada  tahun ini, memaksa Perdana Menteri, Jacinda Ardern beralih daripada strategi penghapusan melalui perintah berkurung kepada hidup bersama-sama virus dengan vaksinasi yang lebih tinggi.

Terdahulu, Ardern pada bulan lalu berkata, New Zealand memerlukan golongan guru dan pekerja dalam sektor kesihatan dan orang kurang upaya untuk divaksin sepenuhnya, dan berjanji untuk menamatkan sekatan hanya selepas 90 peratus daripada populasi diberi suntikan vaksin.

New Zealand masih mempunyai antara kes Covid-19 terendah di dunia, dengan kurang daripada 8,000 kes dilaporkan setakat ini dan 32 kematian. Jumlah kadar vaksin dua dosnya dalam kalangan warga negara itu kini telah mencapai hampir 80 peratus daripada populasi yang layak divaksinasi. – HARAKAHDAILY 9/11/2021

- Advertisement -