MP Jerai gesa naikkan kadar subsidi padi

Ustaz Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Bajet 2022 dilihat mampu membantu petani serta pengeluar makanan lain menghadapi kenaikan kos, tetapi kurang membantu pesawah padi yang mengeluarkan makanan ruji rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, berkata sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan pada tahun depan bagi pemberian subsidi dan insentif untuk industri pertanian serta perikanan.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya di Parlimen Jerai yang kira-kira 60 peratus penduduk terlibat dengan penanaman padi, masih kedengaran suara sayu pesawah yang mempersoalkan beban yang mereka tanggung.

“Difahamkan selama ini, pesawah terpaksa menanggung kos yang naik berkali-kali ganda setiap tahun. Namun kadar subsidi yang diterima masih sama. Difahamkan selama ini, harga beras dikawal pada harga RM2.60 sekilogram, manakala harga minimum masih RM1.20 sekilogram.

“Pesawah padi menanggung 100 peratus kenaikan kos dan ini tidak termasuk pemotongan yang semakin tinggi oleh pengilang beras,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengatasi kenaikan melampau harga input racun dan baja pertanian dengan menaikkan subsidi pengeluaran padi mentah dari RM360 kepada RM500 satu tan metrik.

Sabri turut meminta kerajaan mempercepatkan proses penghantaran baja subsidi kerana ramai pesawah belum menerima bahan yang penting untuk sawah mereka.

“Semalam, saya menerima aduan petani di Parlimen saya bahawa ramai belum menerima baja yang disubsidikan kepada petani. Apatah lagi umur padi yang baru ditanam telah pun kira-kira sebulan, tetapi daun padi mula menguning akibat kekurangan baja,” katanya.

Beliau berkata, sektor perikanan juga mempunyai pelbagai masalah yang harus diselesaikan demi kesejahteraan golongan berkenaan kerana peruntukan RM151 juta bukan satu jalan untuk menyelesaikan masalah lebih 100,000 nelayan untuk meningkatkan hasil.

Menurutnya, kekurangan ikan di perairan Pantai Barat Semenanjung Malaysia sangat jelas dengan jumlah ikan cuma tinggal kira-kira 40 peratus dan dijangka pupus menjelang tahun 2035.

Katanya, kerajaan juga perlu menambah aset penguatkuasa untuk mengawal pencerobohan bot pukat tunda yang jelas merungkai anak ikan bermutu tinggi untuk dijadikan baja.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga perlu menggerakkan persatuan nelayan terutama di utara Semenanjung Malaysia supaya mengaktifkan peti sejuk beku yang boleh mengisi 650 tan metrik pada suatu masa di Kuala Kedah yang sekarang ini merupakan projek gajah putih,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/21

- Advertisement -