PAS tetap runding sebelum berlangsung penamaan calon

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

- Advertisement -

KUALA NERUS: Selagi belum tiba hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Isnin ini, PAS akan tetap meneruskan rundingan dengan semua parti yang mendukung kerajaan termasuk Umno.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan berkaitan calon perlu diadakan bagi mengelak berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Selagi belum diumumkan calon yang bakal bertanding pada PRN Melaka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selagi itulah rundingan dengan Umno akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis ucaptama Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Agong PAS Ke 67 hari ini.

Pada masa yang sama katanya, PAS bersama pendukung Perikatan Nasional (PN) akan mematuhi PRN dalam normal baru.

“PAS akan pastikan tidak ada kempen, himpunan dan sebagainya,” ujarnya.

Penamaan calon PRN Melaka akan diadakan pada Isnin ini. Malah BN sudah mengumumkan akan bertanding di 28 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula dijangka mengumumkan calon petang ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -