Jadi ejen perdamaian seperti TG Abdul Hadi dan Ertugrul

- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS selaku parti yang membawa agenda perjuangan Islam harus menjadi ejen perdamaian dalam kalangan pemimpin parti politik di Malaysia supaya negara semakin bersatu dan kuat dan tidak mudah lemah diserang musuh jahat dalam politik mahupun ancaman daripada luar.

Perwakilan PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bukan sahaja telah menggerakkan peranan bersungguh-sungguh dalam usaha penyatuan di negara ini, tetapi juga di peringkat dunia.

“Dunia Islam kini berada dalam arena perpecahan dan persengketaan disebabkan oleh perbezaan ideologi, perbezaan politik dan melampau-lampau mengikut telunjuk musuh Islam

“Sebagai sebuah organisasi yang mendaulatkan Islam, PAS harus menjadi ejen perdamaian bagi mewujudkan hubungan keharmonian di kalangan pemimpin-pemimpin di seantero pentas antarbangsa.

“Sekali gus menguatkan dan mengukuhkan hubungan dalam negara-negara Islam supaya tidak terpengaruh dengan pemikiran liberal sekular serta tidak menjadi proksi kepada musuh-musuh Islam.

“Peranan yang dimainkan oleh Tuan Guru Presiden sebagai pendamai kepada konflik-konflik yang pernah berlaku di pentas dunia sama ada di Yaman, di Acheh dan di Timur Tengah sangat besar maknanya dalam meletakkan peranan PAS sebagai pendamai umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Akui beliau, usaha mewujudkan sebuah daulah Islamiyah pastinya akan menghadapi tentangan dan cabaran daripada musuh, kerana itu hubungan sesama Muslim wajib diutamakan melalui kerjasama siyasah antara organisasi di semua peringkat.

Beliau memetik kisah sejarah seorang lelaki gagah bernama Ertugrul dari Anatolia semasa awal permulaan Empayar Turki Uthmaniyah di mana peranannya dalam menyatu ummah dan kesetiaannya mempertahankan kedaulatan mestilah divontohi ahli-ahli PAS.

“Kita harus mencontohi keperibadian dan ketokohan Ertugrul selaku pemimpin Islam yang tidak mementingkan jawatan tetapi semangat juang mempertahankan Islam tersemat di jiwa walaupun kerap kali difitnah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -