Perpecahan, pertikaian kaum menyakiti semua

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pendukung PAS perlu menganggap satu sama lain sebagai satu keluarga manusia yang dijadikan Tuhan di bumi milik-Nya, kata Dr. Balachandran Gopal Krishnan.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat itu, dengan demikian barulah akan dapat menjadikan penderitaan orang lain penderitaan bersama dan merasai bagaimana perpecahan dan pertikaian kaum menyakiti semua.

“Hanya dengan demikian kita akan menikmati ‘Keluarga Malaysia’ dalam erti sebenar,” ujarnya semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

- Advertisement -

Berdasarkan itu, tambahnya DHPP berpendapat bahawa perlu ada wakilnya sama dalam Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) negeri dan Pusat.

“Ini penting untuk DHPP ditonjolkan sebagai satu entiti yang ada kewibawaan untuk berkongsi pendapat bagi membangunkan negara kita yang dicintai ini,” katanya lagi.

DHPP juga, ujar beliau meminta agar pemimpin dewan itu dipertimbangkan untuk diberi kerusi yang boleh dimenangi dengan izin winnable constituency.

Tambahnya, DHPP juga menyarankan agar pinjaman/biasiswa/bantuan pendidikan tinggi khas bagi anak-anak keluarga Malaysia, yang bukan Islam dari kalangan ahli-ahli DHPP yang mendapat tempat untuk melanjutkan pendidikan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

“Memandangkan sekarang DHPP sudah lebih mantap dan tersusun, kita memohon sekali lagi agar satu kaedah disempurnakan untuk DHPP diberi hak mengundi di muktamar akan dating,” katanya lagi.

Beliau mengakhiri perbahasan ringkas ucapan dasar Presiden dengan serangkap pantun.

Pergi ke pasar membawa raga,
Pergi bersama dengan Ikram,
Perpaduan kaum terus dijaga,
Agar hidup aman dan tenteram
. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -