Tingkat kesabaran hadapi kerenah MN, PN

- Advertisement -

KUALA NERUS: Parti-parti Melayu hendaklah bersama-sama mengembleng tenaga yang dianggap mampu menentang perancangan kerajaan DAP sekarang.

Perwakilan Pulau Pinang, Abdullah Razib Abdul Rahim berkata, perlu ada kesepakatan muafakat Melayu yang perlu diperjelaskan kepada rakyat.

Katanya kerajaan yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) sekarang sedang berusaha hendak mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu.

- Advertisement -

Kata beliau projek terowong dianggap sebagai perancangan untuk menghilangkan kawasan-kawasan orang Melayu di kawasan Seberang Prai.

“Begitu juga projek tambak selatan Pulau Pinang (PSR) biarpun sudah dibatalkan, namun tambakan pulau tersebut tidak berakhir di situ,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden pada muktamar di Duyung Resort hari ini.

Menurutnya juga kawasan parlimen yang dikuasai orang Melayu di Pulau Pinang hanya ada tiga dan Dun pula 15, manakala selebihnya dikuasai Pakatan Harapan.

Oleh itu beliau juga berharap Jabatan Penerangan PAS Pusat membantu mengangkat isu-isu yang berlaku di Pulau Pinang untuk diketengahkan kepada rakyat.

Perwakilan Johor Mohd Ruslami Mohd Salleh pula berkata, biarpun negeri itu menjadi tempat kelahiran Umno iaitu di Batu Pahat, namun sekarang sudah berubah.

“Jadi kita perlu perkukuhkan muafakat yang masih berjalan dalam MN dan PN sekarang. Begitu juga dalam suasana PAS masih lagi berada dalam kerajaan.

“Kita perlu pertingkat kesabaran menghadapi suasana MN dan PN. Terus berunding dengan MN dan PN, teguh dengan prinsip perjuangan PAS,” kata beliau.

Beliau juga berharap pemimpin PAS yang berjawatan menteri kalau berkunjung ke Johor bolehlah membuat kunjungan ke atas Menteri Besar dan anggota Exco.

Kata beliau pimpinan PAS Johor hendaklah turut diundang ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan Johor. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -