Terima kasih Tengku Zafrul popularkan ‘Train to Dabong’

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerana mempopularkan fenomena `Train to Dabong’ yang viral di media sosial ketika pembentangan Bajet 2022, minggu lalu.

Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, fenomena itu membantu melonjakkan industri pelancongan kepada rakyat Dabong dan Kuala Krai.

- Advertisement -

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan meneruskan subsidi kos operasi perkhidmatan tren kurang ekonomik di Dabong.

“Saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Kewangan, YB (Yang Berhormat) Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah) dan pasukan MoF (Kementerian Kewangan) yang turun mencuba `Train to Dabong’.

“Ternyata kehadiran YB membawa sesuatu yang sangat bermakna untuk kemajuan Dabong dan Kuala Krai,” katanya ketika perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff berkata, difahamkan antara pihak yang memulakan viral `Train to Dabong’ di media sosial ialah tiga anak muda yang mewujudkan sebuah laman di Facebook dan cetusan idea itu menyebabkannya berbangga dengan mereka.

Bagaimanapun, katanya penambahbaikan infrastruktur amat diperlukan untuk melonjakkan sektor pelancongan yang memberi pulangan kepada penduduk Dabong dan ini termasuk jaringan jalan raya yang lebih baik, talian telefon dan internet.

“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan mengembalikan semula perkhidmatan Ekspres Wau laluan Tumpat-Kuala Lumpur yang dihentikan selepas kejadian banjir besar pada tahun 2014.

“Ekspres ini boleh dimasukkan dalam subsidi kos operasi tren yang tidak ekonomik. Saya yakin ini mampu melonjakkan industri pelancongan, terutama dengan kehadiran pelancong dari Lembah Klang,” katanya.

Selain itu, katanya sudah sampai masa beberapa pihak yang terlibat dengan pelancongan seperti malim gunung, pengusaha kereta sewa dan rumah tumpangan, diberikan kursus berkaitan pelancongan serta elaun khas untuk memantapkan usaha ini.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menaik taraf kemudahan kompleks pelancongan Gua Gelap, Gua Keris dan Gua Pagar di Dabong serta memohon penambahan mesin pengeluaran wang (ATM) kerana ketika ini hanya ada satu ATM di situ. – HARAKAHDAILY 3/11/21

- Advertisement -