KPDNHEP pantau Skim Harga Maksimum 1 hingga 7 Nov

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Sebanyak 63 kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kelantan (KPDNHEP) terhadap peniaga yang melangar peraturan termasuk gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, kesalahan itu termasuk melalui Ops Samar yang diadakan sejak dua bulan lalu.

- Advertisement -

“Sepanjang tempoh tahun lalu kita mengeluarkan kompaun sebanyak 63 kepada mereka yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk melalui Ops Samar yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepsa meninjau harga barangan melalui program ‘walkabout’ di Pasaraya Pacific Kb Mall, di sini hari ini.

Terdahulu Adnan dan pegawai KPDNHEP memantau aktiviti pembelian, penjualan serta pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali peringkat peruncit.

Katanya juga KPDNHEP mengadakan pemantauan Skim Harga Maksimum berkuatkuasa pada selama seminggu bermula 1 hingga 7 November bersesuaian mengikut keadaan semasa.

Kata beliau sebanyak 11 jenis barangan dikawal di bawah harga maksimum bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali untuk menstabilkan harga dan bekalan di pasaran mengikut ketetapan yang dikeluarkan KPDNHEP.

“Para peniaga perlu melabelkan tanda harga dengan menggunakan tanda harga yang ditetapkan dan tidak menjual barangan melebihi harga yang ditetapkan (siling).

“Oleh itu, sekiranya didapati peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh membuat aduan.

“KPDNHEP juga menyeru supaya pihak pemain industri, pasaraya dan peniaga menawarkan harga yang lebih rendah berbanding Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang diumumkan kerajaan,” katanya.

Kata beliau tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan terhadap peniaga yang gagal mematuhi sebarang peraturan di bawah skim tersebut. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -