Perak komited terhadap usaha kelestarian sungai

- Advertisement -

PAGI ini saya berkesempatan menghadiri dan merasmikan Program Perbincangan Meja Bulat Kelestarian Sungai di Sungai Meru anjuran bersama Carsem (M) Sdn Bhd dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak.

Berikut ini adalah teks ucapan saya:

Saya ingin menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya, dapat kita bersama-sama dalam Program Perbincangan Meja Bulat Kelestarian Sungai di Sungai Meru Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar 2021 Peringkat Negeri Perak pada pagi ini. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak penganjur iaitu pihak Carsem (M) Sdn Bhd di atas penganjuran majlis ini. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak selaku penganjur bersama dalam penganjuran majlis ini. 

- Advertisement -

Untuk makluman semua, majlis yang dijalankan pagi ini adalah salah satu pengisian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang saya difahamkan telah bermula pada pertengahan September sehingga pertengahan Disember tahun ini. Semoga dengan usaha ini dapat memenuhi aspirasi bersama antara Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Perak dalam merealisasikan hasrat Perak Bumi Lestari. 

Saya suka memetik bait-bait ucapan YAB Menteri Besar Perak ketika merasmikan Pelancaran Hari Alam Sekitar Malaysia 2021 Peringkat Negeri Perak di Majlis Daerah Selama pada 23 Oktober 2021 yang lalu di mana sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Ke Empat Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 2 Ogos 2021 yang lalu agar khazanah alam seperti air dipelihara daripada pencemaran. 

Apa yang lebih membanggakan Sungai Tapah telah diiktiraf sebagai sungai terbersih di Malaysia, manakala Sungai Licin, Sungai Nyior dan sungai Manong termasuk dalam sepuluh sungai terbersih dalam Negara kita. Insya-Allah kita akan berusaha gigih mengekalkan pencapaian yang membanggakan ini dan mensasarkan lebih banyak sungai di Perak pada masa akan datang berada pada 10 tangga teratas sungai terbersih. Saya pasti dengan penglibatan tuan atau puan semua, kita akan berjaya mencapai sasaran ini.

Saya percaya ianya bukan tugasan yang mudah bagi kita semua terutamanya dalam memastikan pembangunan seimbang. Kerajaan Negeri Perak komited dalam merangka strategi pembangunan yang seimbang, yakni menjaga dan memulihara alam semula jadi di samping melaksanakan keperluan pembangunan bagi menjana ekonomi negeri. Oleh itu, saya menyeru kerjasama semua pihak menggembleng tenaga dalam memastikan hasrat ini dapat dipenuhi.

Pemuliharaan alam sekitar perlu kita jadikan sebagai agenda utama dalam kehidupan kita dalam bersama-sama menyelamatkan ekosistem sungai yang merupakan aset yang tidak ternilai ini daripada terus diganggu-gugat. 

Oleh itu, saya merasakan program perbincangan sebegini amat baik di mana kita dapat menghimpunkan semua pihak berkepentingan (stakeholder) untuk kita bincangkan hala tuju pengurusan sungai yang lestari di samping kita cuba menghayati alam sekitar dengan lebih dekat dengan merasai sendiri aliran Sungai Meru anugerah Tuhan yang tidak ternilai ini. Semoga kita semua berjaya mencapai satu kata sepakat dalam langkah murni ini.

Akhir kata, sama-sama kita berusaha melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga dan memulihara alam sekitar dan menjadikan Perak Bumi Lestari.

Dengan lafaz Bismillahiramanirahim. Saya merasmikan Program Perbincangan Meja Bulat Kelestarian Sungai di Sungai Meru Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar 2021 Peringkat Negeri Perak.

MOHD AKMAL KAMARUDIN 
Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau
Negeri Perak – HARAKAHDAILY 2/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/374752124290199/posts/397174145381330

- Advertisement -