Komited realisasikan Perak Bumi Lestari

- Advertisement -

PATIK dan seluruh warga kerja Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjunjung kasih di atas Titah Diraja, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Al Marhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al Maghfur-lah.

Patik juga dengan rendah hati menginsafi dan komited dengan titah Tuanku bahawa langkah-langkah pemantauan dan penguatkuasaan amat perlu ditingkatkan bagi merealisasikan agenda besar Perak Bumi Lestari.

Sepanjang tahun 2020, Jabatan Alam Sekitar melaksanakan hampir lima ribu (4,937) pemeriksaan di hampir dua ribu lima ratus (2,465) premis, merangkumi sektor industri, pertanian, ladang hutan, kuari, loji kumbahan, juga projek-projek pembangunan, yang berpotensi mencetuskan pencemaran alam sekitar.

- Advertisement -

Tiga ribu empat ratus (3,358) kompaun dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan pelanggaran perundangan alam sekitar, dan seratus satu (101) kertas siasatan dibuka untuk diambil tindakan perundangan di mahkamah.

Sembilan belas (19) premis dikenakan tindakan sitaan peralatan, dan tujuh premis dikenakan perintah larangan beroperasi. Data pada tahun 2020, menunjukkan ramai operator dan pengusaha, kurang memberi keutamaan kepada komponen alam sekitar.

Langkah-langkah pemantauan dan penguatkuasaan amat perlu ditingkatkan agar mesej yang jelas disampaikan kepada semua pihak berkepentingan agar tidak mengkompromikan faktor yang berkait alam sekitar.

Sabda Baginda S.A.W:

إنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وإنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كيفَ تَعْمَلُونَ

“Sesungguhnya dunia ini cantik lagi menghijau, dan sesungguhnya Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah S.W.T:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا 

“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

(Hud: 61)

Inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui Perak Bumi Lestari, merangkumi tiga komponen 3E iaitu;

1. Alam sekitar (Environment).
2. Ekonomi (Economic).
3. Sosial (Equities).

Ketiga-tiga elemen ini ke arah merealisasikan firman Allah S.W.T:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ 

“… negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”

(Saba’: 15)

Iaitu negeri yang baik yang mendapat keredhaan Allah S.W.T. Negeri ini disifatkan dengan ketamadunan dari sudut sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitarnya.

Patik serta warga kerja Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak akan terus bekerja bagi memastikan Negeri Perak mencapai hasrat Perak Bumi Lestari demi menjunjung Titah Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al- Maghfur-Lah untuk melestarikan alam sekitar.

“Menjunjung Kasih Tuanku. Daulat Tuanku.”

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau
Negeri Perak – HARAKAHDAILY 29/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/154446448068883/posts/1900014253512085/

- Advertisement -